Sunday, September 21, 2008

Acara TMD kekal meriah
Oleh Syah Rul Aswari Abdullah
srul@hmetro.com.my


PULAU Tioman memang terkenal di kalangan penyelam skuba untuk melihat hidupan di dalamnya kerana lautnya jernih dan bersih.
Tioman Mega Dive 2008 (TMD 2008) di Kampung Salang, Pulau Tioman, baru-baru ini menghimpunkan penyelam tempatan dan antarabangsa.

PULAU Tioman memang terkenal di kalangan penyelam skuba untuk melihat hidupan di dalamnya kerana lautnya jernih dan bersih.

Tioman Mega Dive 2008 (TMD 2008) di Kampung Salang, Pulau Tioman, baru-baru ini menghimpunkan penyelam tempatan dan antarabangsa.


Acara tahun ini masih meriah dengan pelbagai aktiviti termasuk pencarian harta karun, cabaran selam ‘Skin Diving’ untuk mengutip bola golf yang dilemparkan ke laut dan ‘Fins-Sprint’ menguji kepantasan penyelam.

Peserta turut melakukan aktiviti membersihkan tapak sulaiman bagi memulihara alam sekitar.

Aktiviti mencari harta karun pada hari kedua menawarkan hadiah keseluruhan RM10,000 dan sambutannya amat menggalakkan.

Cuaca kurang baik dengan hujan renyai sejak awal pagi tidak menghalang penyelam memburu peti harta karun.

Tidak sampai setengah jam kemudian selepas penyelam pertama memasuki laut, tiga daripada peti berharga itu sudah ditemui masing-masing oleh Andy Sem dari Azmi Dive, Ingrid Nilsson (B&J Salang) dan Chairosafiz Mokhtar of Fisherman Divers.

Gerimis dan keadaan laut yang agak bergelora tidak menghalang dua lagi penyelam - Laura Bright dan John Haraldsen, kedua-duanya dari B&J Salang meneroka dasar laut Batu Malang sebelum menemui dua peti terakhir.

Batu Malang, antara lokasi selam skuba utama di Pulau Tioman, menjadi persinggahan popular burung laut yang bertumpu ke batuan di tengah laut ini untuk mencari sumber makanan dan perlindungan.

Justeru, sementara menantikan penyelam menyudahkan misi mereka, wakil media pula dibawa snorkling di sekitar perairan pulau batu ini, sebelum bersantai melihat terumbu karang di Pasir Panjang.

Selepas makan tengah hari, acara diteruskan dengan perkahwinan dasar laut di jeti Kampung Salang. Tahun ini, Samuel Dan, 31, dan Natasha Chan, 25 terpilih melafazkan ikrar perkahwinan mereka dalam persalinan pengantin tradisional Melayu.

Hari ketiga menyaksikan penyelam kembali menyarung ‘wet suit’ dan menggalas tong oksigen untuk menyertai satu lagi agenda wajib TMD 2008 iaitu projek pembersihan tapak sulaiman jenis mahkota berduri.

Kerja keras mereka berbaloi apabila 152 hidupan itu dibawa pulang oleh kumpulan penyelam.

Malam terakhir, peserta berhimpun di Kompleks Kampung Salang untuk majlis penutup, diselang-selikan dengan persembahan hiburan dan penyampaian hadiah, disusuli parti pantai sehingga awal pagi.



RUJUKAN PERCUTIAN

Lembaga Pembangunan Tioman

Tel : 09-5141206

Faks: 09-5148801

tioman@mytioman.com.my

www.mytioman.com.my

Tourism Malaysia - Pahang

Tel : 09-517 7113/7115

Faks : 09-517 7114

www.pahangtourism.com.my

Tioman Mega Dive 2008

http://www.tiomanmegadive.com/

No comments: