Sunday, September 21, 2008

Berbasikal keliling desa
Teks dan gambar Samsudin Awang
rencana@hmetro.com.my



TOURISM Malaysia Pahang memperkenalkan produk pelancongan baru berkonsepkan rekreasi santai melalui sukan berbasikal di beberapa lokasi pinggir desa di Pahang.

Ia memberi peluang kepada pelancong menikmati keindahan kawasan pedalaman khususnya kampung dan alam semula jadi negeri itu dengan cara lebih praktikal, di samping dapat mendekati masyarakat setempat.


Pada program promosi pakej itu di Temerloh baru-baru ini, seramai 20 pelancong tempatan dibawa berbasikal menyusuri perkampungan sekitar tebing Sungai Pahang dari Bera ke Maran.

Kawasan berkenaan adalah penempatan terawal penduduk asal Pahang yang masih mengamalkan adat, budaya dan tradisi Pahang di samping menjanjikan pemandangan menarik keindahan sungai dan suasana permai desa.

Sepanjang laluan, pelancong berpeluang singgah di rumah penduduk untuk melihat aktiviti harian mereka di samping membeli pelbagai produk perusahaan kampung yang belum dikomersialkan seperti kraf tangan, makanan tradisional dan hasil pertanian.

Pengalaman seperti itu memang tidak dapat diperoleh melalui pakej pelancongan biasa kecuali anda menyertai program ‘homestay’ di sesebuah kampung.

Ini kerana kawasan pedalaman Pahang sukar dikunjungi dengan kenderaan biasa kerana laluan jalan kampung yang agak terhad.

Pengarah Tourism Malaysia Pahang, Amran Abdul Rahman, berkata pendekatan itu adalah produk pelancongan baru yang disesuaikan dengan keperluan semasa pelancong ketika ini untuk bersantai, beriadah dan pada masa sama melancong.

"Kaedah pelancongan ini berpotensi tinggi di kalangan pelancong luar negara kerana mereka sanggup mengelilingi dunia dengan berbasikal.

"Mereka lebih menghargai alam sekitar, budaya serta warisan penduduk berbanding hanya sekadar melawat bandar besar atau tertumpu ke lokasi pelancongan berkonsep moden.

"Dengan berbasikal, pelancong bebas meneroka secara terperinci setiap destinasi yang mereka lawati tanpa perlu bergantung kepada satu pakej pelancongan komersial yang terlalu bersifat statik," katanya.

Menurut Amran, pakej pelancongan itu tidak terikat dengan tempoh masa, bilangan peserta atau lokasi lawatan, sebaliknya ia terpulang kepada keinginan setiap pelancong itu sendiri.

"Pelancong tempatan juga digalakkan menyertai pakej seperti ini kerana kosnya amat minimum tetapi pengisiannya padat di samping faedah untuk kesihatan diri.

"Selain itu, ia juga mampu memberi peluang peningkatan ekonomi kepada penduduk di luar bandar supaya mereka juga memperoleh manafaat dari sektor pelancongan cara tidak langsung melalui berniaga dan sebagainya.

"Liputan sektor pelancongan di Pahang juga dapat diperluas semaksimum mungkin dengan pelbagai produk dan pendekatan baru tanpa bergantung kepada produk sedia ada saja di kawasan bandar," katanya.

Orang ramai yang berminat dengan pakej ini, boleh mendapatkan maklumat lanjut dari Pusat Maklumat Tourism Malaysia Pahang di Mahkota Parade Kuantan atau telefon 09-5171111.

No comments: