Sunday, September 21, 2008

Redah tasik Pahang

EKSPEDISI eko pelancongan berkayak dan pacuan empat roda meredah Tasik Bera dan Tasik Chini berjaya mempromosi Pahang sebagai sebagai tarikan utama pelancongan di negara ini.

Pengembaraan tiga hari dua malam itu sejauh 120 kilometer berkayak, manakala 150 kilometer pacuan empat roda menggabungkan laluan air dan darat memberi peluang kepada peserta menikmati keindahan alam semula jadi.


Pengurus Besarnya, Idros Yahya, berkata ekspedisi itu memberi peluang melancong menerusi jalan darat dan air secara menyeronokkan, selain memperkenalkan Tasik Bera dan Tasik Chini.

Beliau berkata, banyak lokasi pelancongan sepanjang laluan Tasik Bera ke Tasik Chini termasuk Hutan Lipur Bukit Bertangga dan perkampungan tradisional masyarakat Orang Asli.

“Pelancongan jangan lepaskan peluang melihat kesan sejarah Tasik Bera yang dikaitkan dengan laluan Hang Tuah ke Pahang membawa pulang Tun Teja.

“Lagenda naga Tasik Chini juga menjadi daya tarikan utama pelancong melawat dan menikmati keindahan tasik yang kaya dengan bunga teratai.

“Peserta ekspedisi pasti menikmati keseronokan berikutan program ini berkonsepkan sahabat alam,” katanya.

Ekspedisi pada 8 hingga 10 Ogos lalu disertai 150 wakil media massa dengan kerjasama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Tourism Malaysia Pahang dan Lembaga Pembangunan Tioman (TDL).

Hari pertama, peserta diberi taklimat oleh kakitangan Perhilitan.

Esoknya, peserta kayak berlepas dari kawasan tapak Ramsar, Tasik Bera kira-kira jam 7.30 pagi manakala peserta kenderaan pacuan empat roda bertolak sejam kemudian.

Tasik Bera adalah sistem tasik air tawar semula jadi dengan keluasan 20 kilometer dan 35 kilometer panjang.

Perjalanan kira-kira 10 jam, peserta berpeluang menikmati keindahan kawasan pedalaman khususnya kampung dan alam semula jadi negeri itu sambil berehat di Pangkalan Sudin dan Bukit Bertangga.

Mereka juga berpeluang mengenali cara hidup masyarakat Orang Asli.

Dari Batu Borr, Bera laluan peserta semakin mencabar melalui Maran, Belimbing, Paloh Hinai, Salong sebelum tiba di Tasik Chini.

Tasik Chini satu daripada 12 tasik yang berdekatan dengan Sungai Pahang. Ia tasik semula jadi kedua terbesar di Malaysia selepas Tasik Bera. Pinggiran tasik berkenaan didiami Orang Asli dari suku kaum Jakun.

Bagi peserta pacuan empat roda mereka berhenti kira-kira tiga jam di Gumum mengadakan demontrasi kemahiran memandu kenderaan lasak itu.

Ekspedisi berakhir di Tasik Chini Resort dan disambut lebih 1,000 penduduk yang terbabit dalam sukan air, larian hijau, pertandingan memasak dan memancing selain persembahan artis.

Penutup program disempurnakan Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Bukit Fraser (PKBF), Md Hanafiah Abd Talib.

Program berlangsung sepanjang ekspedisi turut membabitkan penduduk di setiap laluan dengan kerjasama Majlis Daerah Bera (MDB) dan Majlis Daerah Pekan (MDP).

Melihat sambutan mengalakkan termasuk peserta dari Singapura itu, Idros berkata, ekspedisi sedemikian bakal dianjurkan sekali lagi November ini.

“Ini antara pendekatan kita mempromosi eko-pelancongan di Tasik Bera dan Tasik Chini bagi meletakkan kedua-dua tasik semula jadi terbesar negara itu destinasi pelancongan utama di dunia,” katanya.

Source: Zaitie Satibi (hmetro.com.my)

No comments: