Sunday, September 21, 2008

Bunga api 4 negara
Oleh Syah Rul Aswari Abdullah
srul@hmetro.com.my



LANGIT malam Putrajaya bakal berpesta cahaya sempena penganjuran Pertandingan Bunga Api Antarabangsa Putrajaya yang dijangka menarik sehingga 4.5 juta pengunjung, sepanjang bulan ini.

Acara tahunan ini menyaksikan empat pasukan handalan dari empat negara berentap bagi menunjukkan kreativiti dan kepakaran masing-masing termasuk A Caballer dari Sepanyol dan Liuyang Qingcao Fireworks (China).


Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Datuk Abdul Ghaffar Tambi, berkata pertandingan yang pertama kali diperkenalkan sebagai program utama Tahun Melawat Malaysia, tahun lalu kini menjadi acara utama dalam kalendar pelancongan negara.

“Acara sulungnya pada tahun lalu adalah terbesar seumpamanya yang pernah diadakan di rantau Asia Tenggara. Ia kini dianggap sebagai acara utama dalam pertandingan bunga api dunia,” katanya.

Acara pembukaan diserikan oleh pasukan Malaysia pada 12 Ogos, disusuli pasukan China (16 Ogos), Kanada (20 Ogos) dan Sepanyol (24 Ogos).

Persembahan pasukan negara dibarisi Sulen @ Soo Kok Liam, 27; Shafuan Shafie, 21; Ronnie Wee, 32 dan Tan Yeow Siong, 36, menonjolkan adunan irama tradisional negara berserta muzik klasik, opera, rock dan soprano.

Malam penutup dan penyampaian hadiah pada 29 Ogos akan mempamerkan aksi pasukan juara tahun lalu, Howard and Sons Pyrotechnics dari Australia.

Setiap pasukan diberi tempoh 25 minit dan persembahan diadili menerusi penggunaan masa, pilihan muzik, irama dan reka bentuk komposisi.



>Info

>Tempat terbaik untuk menyaksikan pertandingan ini adalah Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

>Pakej istimewa menikmati makan sambil menyaksikan bunga api disediakan di PICC. Pakej Night Tour, Putrajaya Cruise Package dan perkhidmatan Kuala Lumpur Hop On Hop Off dari ibu kota ke Putrajaya akan beroperasi pada lima hari pertandingan, 16, 20, 24 dan 29 Ogos.

>Lebih 10,000 tempat letak kereta disediakan berdekatan PICC. Jalan ke pusat konvensyen itu ditutup kepada kenderaan mulai jam 6 petang pada hari pertandingan.

No comments: