Sunday, September 21, 2008

Sebalik gelora Sungai Nenggiri
Oleh Syah Rul Aswari Abdullah
srul@hmetro.com.my


DI kalangan 'orang luar', Gua Musang, daerah meliputi separuh Kelantan lebih dikenali melalui Ahli Parlimennya, Tengku Razaleigh Hamzah, stesen kereta api kecil di antara laluan Kota Bharu dan Gemas dan bukit batu kapur yang mengelilinginya.

DI kalangan 'orang luar', Gua Musang, daerah meliputi separuh Kelantan lebih dikenali melalui Ahli Parlimennya, Tengku Razaleigh Hamzah, stesen kereta api kecil di antara laluan Kota Bharu dan Gemas dan bukit batu kapur yang mengelilinginya.

Realitinya, bandar kecil terletak 160 kilometer (km) dari Kuala Krai ini menyimpan kisah pahit dalam lipatan sejarah negara.


Episod Sungai Semur pada Mac 1950 umpamanya menyaksikan keberanian Rejimen Askar Melayu Diraja yang diserang hendap pengganas komunis.

Dalam pertempuran hebat yang disifatkan sama seperti tragedi Bukit Kepong itu, 17 anggota tentera terkorban menentang kira-kira 250 anggota komunis.

Di pihak komunis, 29 ahli mereka maut.

Komunis menjadikan Gua Musang sebagai sarang persembunyian berikutan landskap semula jadinya yang dipenuhi hutan dan gua batu kapur, antara yang popular ialah. Gua Sidang.

Kini, kesan sejarah dan khazanah alam ini giat dipromosikan sebagai produk pelancongan utama Kelantan menerusi program Gua Musang Eco-Tours.

Kunjungan ke Gua Musang, baru-baru ini kami meneroka pelbagai khazanah pelancongan di daerah terbesar negeri Cik Siti Wan Kembang ini.

Hari pertama, kami dibawa meneroka keindahan Taman Negara Kuala Koh sebelum mengunjungi perkampungan asli Kaum Batek. Kembara diteruskan ke Kampung Star dalam misi mencari apa yang dipercayai penduduk setempat lokasi suci gajah mati.

Tiba di Pulau Stelu, kami dibawa dengan bot kecil menyusuri arus deras Sungai Nenggiri yang agak bergelora berikutan hujan lebat malam sebelumnya.

Ekspedisi dibantu pemandu pelancong dari Persatuan Sahabat Sungai Nenggiri (PSSN).

Perjalanan mudik ke hulu menentang arus sungai yang pekat tidak terasa apabila melihat pemandangan menarik bukit batu kapur dan perkampungan di tebing sungai. Sesekali, perahu kecil seperti dilambung apabila meredah arus sungai yang agak bergelora.

Kira-kira 15 minit, kami tiba di muka pintu Gua Pintu. Cabaran bagaimanapun, tidak berakhir di situ. Sebaliknya peserta perlu meneroka ruang gua yang sempit dan gelap ke Kampung Star.

Tidak hanya menyimpan misteri gajah mati, kawasan ini dikatakan sudah lama diteroka berdasarkan penemuan pelbagai simbol di dinding gua. Ia dikatakan dihuni masyarakat lampau berdasarkan simbol kura-kura yang dipercayai bertarikh 1941.

Suatu ketika, ia pernah dijadikan lokasi persembunyian komunis, mungkin kerana lokasinya di tebing sungai memberi pertahanan semula jadi. Selain itu, muka gua yang dekat dengan sungai memberikan kelebihan sebagai alat pengangkutan dan sumber air.

Tiba di Kampung Star, mata terpaku melihat dua rangka sepasang gajah yang dikatakan mati kira-kira dua tahun lalu. Rangka yang dulunya berselerak itu kini dipagari kawat berduri bagi mengelak diceroboh binatang buas.

Pengerusi PSSN, Ahmad Karmizi Jalil yang bertindak sebagai pemandu pelancong, berkata lokasi suci gajah mati mendapat namanya kerana haiwan akan mencari kawasan sekitar gua apabila menghampiri akhir hayat.

"Kedua-dua gajah ini dikatakan sering berlegar di kawasan gua seolah mengetahui mati di sini. Kayu berhampiran dengan kubur ini dikatakan digunakan untuk bersandar oleh salah satu gajah," katanya.

Haiwan itu dikatakan berusia antara 35 dan 40 tahun ketika mati. Rangkanya yang ditemui oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dalam keadaan berselerak sebelum dikumpulkan di satu tempat.

Gajah betina itu dikatakan meninggalkan anaknya yang kini berusia dua tahun dan sering dilihat berkeliaran berdekatan dengan kuburan ibunya.

"Seperti haiwan lain, gajah mempunyai ikatan yang kuat terhadap ibunya. Mungkin ibu gajah ini mati pada usia anaknya yang masih mentah menyebabkan anak gajah ini sukar berdikari," katanya.

Anak gajah itu hidup dalam sekumpulan kira-kira 20 gajah yang hidup bebas dalam habitat semula jadi dalam kawasan sekitar tiga kilometer persegi.

Pengarah Tourism Malaysia Kelantan, Muhammad Zaki Talib yang turut menyertai rombongan media berkata, masih ramai kurang mengetahui kewujudan lokasi gajah mati kerana lokasinya di pedalaman, agak jauh dari penempatan manusia.

"Kita berharap tarikan ini akan berkembang menjadi satu lagi aset pelancongan Kelantan.

"Kedatangan pelancong juga dapat menyumbang kepada peningkatan pendapatan orang kampung yang banyak bergantung kepada ekonomi pertanian," katanya.

Perjalanan pulang lebih mencabar apabila dibawa merentas denai menuruni bukit, sebelum menaiki bot pulang ke Pulau Stelu.

Namun, semuanya berbaloi mengenangkan sudah melalui pengalaman seumur hidup melihat kuburan gajah!



>TARIKAN LAIN DI GUA MUSANG

>Aktiviti paling popular adalah berakit meredah arus Sungai Nenggiri, lawatan ke santuari Kelah, program homestay di kampung Orang Asli dan jungle trekking untuk ke junut dan melihat bunga Pakma.

>Pakej lasak 4 by 4 "off-road adventure" dan lawatan ke kawasan peninggalan prasejarah boleh di Gua Cha dan Gua Chawan sepanjang sungai ini boleh diaturkan. Selain itu, perkhemahan dan aktiviti memancing dapat diadakan di sini.

>Maklumat lanjut, hubungi PSSN di talian 09-9124427/ Ahmad Karmizi (013-9444150)/ Rosle Hamat (019-9584324).



>Info

Tourism Malaysia

Tel: 03-2615 8188 / Faks: 03-2693 5884 / 2693 0207

Talian Pelancongan: 1-300-88-5050

No comments: