Sunday, September 21, 2008

Kuala Keniam mendamaikan

BAGI yang ingin menenangkan fikiran dan melupakan seketika keriuhan dan kesibukan bandar, Stesen Penyelidikan Universiti Teknologi Mara (UiTM)-Jabatan Perlindungan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kuala Keniam lokasi yang sesuai.

BAGI yang ingin menenangkan fikiran dan melupakan seketika keriuhan dan kesibukan bandar, Stesen Penyelidikan Universiti Teknologi Mara (UiTM)-Jabatan Perlindungan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kuala Keniam lokasi yang sesuai.


Terletak dalam rizab Perhilitan di Taman Negara Jerantut, tempat berkenaan bukan saja dijadikan stesen penyelidikan ahli sains tetapi lokasi pelancongan.

Untuk sampai ke stesen penyelidikan itu, pelancong perlu menaiki bot yang mengambil masa kira-kira dua jam setengah sambil menikmati pemandangan yang menarik sepanjang Sungai Tembeling.


Selain dapat menikmati udara segar dalam hutan, pelancong berpeluang melihat pelbagai spesies flora dan fauna yang menghuni kawasan hutan berusia ratusan tahun.

Bagi yang meminati aktiviti mencabar dan lasak seperti meredah hutan, mereka boleh melalui beberapa laluan yang disediakan pengurusan tempat berkenaan.

Di kawasan berkenaan juga terdapat dua gua iaitu Gua Luas dan Gua Kepayang yang memerlukan perjalanan lebih enam jam untuk sampai dan kebiasaannya pelancong akan bermalam di dalam gua berkenaan.

Mereka yang suka dengan aktiviti memancing, pusat penyelidikan Kuala Keniam menjadi lokasi sesuai terutama dengan adanya tiga lubuk ikan iaitu Keniam Kecil, Lubuk Rawa dan Lubuk Licin.

Pelbagai spesies ikan sungai seperti kelah, tapak, baung, tengas, toman, belida, lampam dan bujuk setia menanti umpan yang dilabuhkan.

Dalam tempoh singkat dengan umpan cacing dan buah kelapa sawit, pancing anda pasti disentap ganas terutama kelah yang memang terkenal di Sungai Tembeling dan Sungai Keniam.

Di kawasan stesen penyelidikan itu, banyak terdapat tumbuhan seperti tepus merah selain pelbagai pokok hutan bersaiz besar yang kini semakin sukar ditemui.

Untuk menyelia kawasan berkenaan, UiTM melantik pihak swasta selain seorang pegawai perhubungan komuniti, Hassan Buhari Mat Sarip.

Hassan berkata, di kawasan stesen penyelidikan UiTM-Perhilitan Kuala Keniam ini juga terdapat banyak binatang liar seperti gajah, rusa, pelanduk, landak dan kancil yang menjadi tarikan pelancong.

Katanya, usaha membangunkan stesen penyelidikan UiTM-Perhilitan Kuala Keniam ini akan terus dilakukan secara berperingkat, pelancong yang ingin bermalam boleh mendirikan khemah.

"Pelancong yang menginap di sini akan dibawa melihat kawasan persekitaran selain singgah di penempatan Orang Asli dan kampung tradisional seperti Kampung Pagi, Kampung Sat dan Kampung Mat Daling.

"Harapan saya, stesen penyelidikan UiTM-Perhilitan Kuala Keniam ini akan terus terkenal seperti mana gahnya nama Taman Negara Jerantut yang dikenali seluruh dunia," katanya.



Source: Oleh Mohd Rafi Mamat (hmetro.com.my)

No comments: