Sunday, September 21, 2008

MEREHATKAN minda di pulau peranginan menjadi pilihan pelancong yang gemarkan alunan ombak membelah pantai bagi menyegarkan fizikal selepas penat di tempat kerja.

Memilih hotel yang sempurna pasti menjadi elemen penting namun jika bercadang ke Pulau Langkawi, jangan lupa ke Meritus Pelangi Beach Resort & Spa di Pantai Cenang.


Resort yang dikelilingi pokok kelapa menjadikannya tempat beristirehat ideal selain menawarkan cabaran laut dan urutan badan.

Terletak kira-kira 15 kilometer dari lapangan terbang serta 21 kilometer dari jeti Pekan Kuah, Meritus Pelangi Beach Resort & Spa pusat menghadap Selat Melaka.

Resort ini menawarkan lebih 350 bilik dibina khas menggunakan kayu etnik sambil dikelilingi taman serta kolam renang memberikan keselesaan kepada pengunjung manakala beranda ala kampung menyerlahkan suasana perkampungan Melayu.

Bilik yang merangkumi 22 suite serta 51 chalet tunggal atau bertingkat merangkumi Commonwealth Suite, Kedah Suite, Langkawi Suite, Pelangi Junior Suite, Meritus Club Room, Superior dan Deluxe menawarkan pelbagai kelengkapan membuatkan anda berasa ingin tinggal lebih lama di sana.

Tidak lengkap kunjungan resort bertaraf lima bintang ini tanpa memilih bersantai di Teratai Spa yang menawarkan aroma wangi sambil urutan badan melegakan ketegangan pantas melupakan segala masalah jauh ke belakang.

Rawatan spa ditawarkan merangkumi pelbagai teknik termasuk Malaysia, Indonesia, Thailand China dan Barat memungkinkan pengunjung tidur lena pada malam hari.

Kanak-kanak juga mampu tersenyum riang kerana resort ini menyediakan tempat khas untuk mereka berhibur melalui Kiki Klub khusus bagi peringkat umur empat hingga 12 tahun.

Kiki Klub menawarkan aktiviti harian seperti 'Jalan Pagi', melukis baju 'T', origami, belajar berenang, tayangan kartun, pembuatan kraf, golf mini dan memancing, dibuka dari 9 pagi hingga 9 malam.

Bukan itu saja, dua kolam renang disediakan menjadi tarikan utama dilengkapi bar mandi, jakuzi dan tempat beristirehat di sisinya menambah keunikan resort ini.

Bagi yang mahu mengisi perut sambil menikmati keindahan tepi laut, tiga restoran utama seperti Spice Market, Niyom Thai dan The Boat House BBQ tempat paling sesuai memeriahkan percutian anda.

Malah, resort ini juga tempat paling sesuai bercuti sambil bermesyuarat apabila ia menyediakan ruang banquet dengan kapasiti 420 tempat duduk ditambah 12 bilik mesyuarat serta Pusat Perniagaan yang dibuka 24 jam.

Tawaran cabaran laut
Oleh Afiq Hanif
afiq@hmetro.com.my

No comments: