Sunday, September 21, 2008

Wajah baru lebih selesa
Teks dan Gambar Mohamad Yatim Latip
am@hmetro.com.my



HOTEL Grand Continental Melaka, kini berwajah baru selepas diubah suai dengan kos RM2 juta hujung tahun lalu dengan menyediakan bilik penginapan baru yang begitu selesa untuk pengunjung terutama bagi mereka berkeluarga.

Kemudahan bilik penginapan baru yang diubah suai sepenuhnya membabitkan bilik superior dan deluxe, dibina khusus untuk memuatkan tiga malah lebih pengunjung pada satu masa.


Pengurus hotel berkenaan, Christopher Koh, berkata 59 unit bilik superior dilengkapi satu katil bersaiz queen dan satu katil bujang atau tiga katil bujang manakala bilik deluxe dilengkapi dua katil bersaiz queen yang paling sesuai bagi pengunjung berkeluarga besar.

“Bilik deluxe paling diminati pengunjung berkeluarga.

“Bilik ini terbahagi kepada dua jenis bilik penginapan iaitu deluxe berkembar dan deluxe kelamin berempat. Kami juga menyediakan bilik eksekutif yang turut dilengkapi katil bersaiz besar,” katanya.

Hotel berusia 16 tahun itu menjalani kerja pengubahsuaian bagi menambah baik bilik penginapannya, kemudahan dan juga mempertingkatkan mutu perkhidmatan hotel.

Koh berkata, bilik eksekutif eksklusif yang baru itu setaraf bilik hotel bertaraf empat bintang manakala bilik kelamin berempat amat sesuai untuk keluarga.

“Sebanyak 45 peratus pengunjung hotel kami adalah pengunjung berulang dan pengubahsuaian bilik penginapan sebagai menghargai pelanggan untuk menyediakan yang terbaik supaya mereka selesa di sini,” katanya.

Beliau berkata, lokasi hotel yang strategik, di tengah kawasan bandar terutama berhampiran kawasan bersejarah dan tempat tumpuan pelancong menjadi kelebihan.

“Ramai pelancong luar terutama dari Singapura menginap di sini,” katanya.

Pengunjung juga berpeluang menikmati juadah masakan tempatan di Sudut Selera Coffee House yang dibuka 24 jam.

“Antara juadah yang disediakan ialah ayam pongeh nyonya, udang lemak nenas, udang goreng asam nyonya, kari debil Portugis dan asam pedas,” katanya.

Beliau berkata, hotel berkenaan turut menyediakan kemudahan Internet Jalurlebar WiFi (Broadband), bilik mandi baru yang dilengkapi dengan tab mandi, mandian hujan dan set televisyen baru.

“Kami berharap pilihan mereka di hotel kami akan menjadi kenangan seumur hidup dan datang ke sini semula apabila berkunjung ke Melaka,” katanya.



>INFO



LOKASI:

Hotel Grand Continental Melaka terletak di tengah bandaraya Melaka Bersejarah dan mengambil masa lima minit saja untuk ke Jeti Bot Pelancong Sungai Melaka di Taman Rempah, Kampung Tradisional Melayu Kampung Morten dan kawasan bersejarah yang menjadi tumpuan pelancong di Bandar Hilir dan kawasan sekitarnya.



PENGINAPAN:

Mempunyai 142 bilik yang baru diubah suai sepenuhnya dan terbahagi kepada tiga kategori iaitu bilik superior, bilik deluxe dan bilik eksekutif eksklusif.

Hotel berkenaan juga mempunyai bilik superior kelamin berkembar tiga dilengkapi satu katil bersaiz queen dan satu katil bujang dan superior berkembar tiga dengan tiga katil bujang. Bilik deluxe kelamin berkembar empat mempunyai dua katil saiz queen manakala bilik eksekutif mempunyai satu katil saiz king.



BAGAIMANA KE SANA:

Jika anda memandu masuk ke bandar Melaka dari Ayer Keroh menerusi Jalan Tun Sri Lanang, hotel berkenaan adalah hotel pertama anda akan lihat pada sebelah kiri jalan utama.



TARAF:

Tiga bintang.



HARGA:

Harga bilik dengan sarapan bermula daripada RM135++ sementara bilik eksekutif berharga RM350++.



KEMUDAHAN MINUMAN DAN MAKANAN:

Sudut Selera Coffee House beroperasi 24 jam menyediakan hidangan masakan kampung, Portugis, nyonya dan masakan tempatan.



KEMUDAHAN:

Hotel ini satu-satunya hotel bertaraf tiga bintang yang tidak mempunyai tiang pada ruang ballroom yang mampu memuatkan antara 230 hingga 400 orang. Terdapat tiga dewan lain yang boleh digunakan untuk seminar perniagaan. Juga terdapat kemudahan perkhidmatan Internet jalur lebar, perkhidmatan tempat duduk bayi, sewa kereta, perkhidmatan kiriman pos dan perkhidmatan bilik.



ALAMAT:

Hotel Grand Continental Melaka, 20, Jalan Tun Sri Lanang, 75100 Melaka. Tel: 06-2840088; faksimile: 06-2848125; e-mel: melaka@ghihotels.com.my; Laman web: www.ghihotels.com.my

No comments: