Sunday, September 21, 2008

Betong simpan sejarah perang
Oleh Roslan Ibrahim
lann@hmetro.com.my



SAYA tidak faham apabila mahu berkunjung ke Thailand, pasti ada mulut yang bercakap-cakap di belakang, “ Tak kerja lain le tu....”

Memang diakui, Thailand dianggap negara yang mudah menawarkan perkhidmatan seks kepada pelancong, malah rumah pelacuran tumbuh seperti cendawan selepas hujan.


Namun, di sebalik penonjolan imej seks itu, Thailand menjanjikan seribu panorama indah, pantai, budaya dan makanan yang menyelerakan.

Kunjungan saya ke Betong, Thailand bersama 30 kakitangan termasuk Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Datuk Hassan Nawawi, baru-baru ini membuktikan kenyataan itu.

Lebih menarik, kami melakukan ekspedisi berbasikal dari Grik ke Pengkalan Hulu sebelum melintas sempadan ke Betong, Thailand.

Misi kami adalah untuk melihat terowong yang dibina Parti Komunis Malaya (PKM) di Piyamit, Betong, Thailand.

Betong di selatan Thailand terletak dalam wilayah Yala dengan penduduk kira-kira 29,000 orang.

Betong tidak sesibuk jika dibanding dengan Padang Besar atau Hatyai kerana majoriti pelancong ke pekan ini dari Malaysia.

Malah, pelancong boleh membeli-belah menggunakan mata wang Malaysia dan bahasa Melayu digunakan secara meluas di daerah ini.

Kira-kira 90 peratus penduduknya berbangsa Melayu dan beragama Islam tetapi aktiviti seks seperti sudah lali di kalangan masyarakat di Betong.

Selain membeli-belah, menikmati masakan Thailand, pastinya Tomyam, saya tidak melepaskan peluang mengunjungi Kolam Air Panas Betong, kira-kira tujuh kilometer dari pekan Betong.

Percaya atau tidak, anda boleh merebus telur dalam tempoh tujuh minit saja.

Kolam air panas ini dibina sebagai satu tarikan pelancong termasuk tempat pejalan kaki ke beberapa kolam yang disediakan.

Merendam kaki dalam kolam air panas ini baik untuk menguatkan sendi dalaman tubuh selain mengubati penyakit kulit.

Jika tidak tahu bagaimana ke sini, ambil saja pengangkutan tuk tuk dari pekan Betong dengan bayaran antara RM20 dan RM30 (200 Bath dan 300 Bath).

Selepas beberapa jam di kolam air panas, kami meneruskan ekspedisi berbasikal sejauh lima kilometer ke terowong Piyamit.

Jalan bengkang-bengkok dengan ladang getah dan hutan belantara memang sesuai untuk membina penempatan bagi melakukan perang gerila yang dianggap sia-sia.

Terowong Piyamit sejauh satu kilometer itu dibina Divisyen Kedua PKM pada 1976 bagi bersembunyi dan mengelak dibom tentera British serta pasukan keselamatan Malaysia.

Terowong ini ditebuk pada kedalaman 15 meter dan mengambil masa tiga bulan untuk disiapkan.

Terowong buatan manusia yang dianggap terpanjang di Thailand itu mampu memuatkan sehingga 200 orang.

Kedudukan dalam terowong itu dingin kerana mereka membina lubang udara. Ini membolehkan anggota PKM berehat, berbual, membaca, memasak atau mengadakan mesyuarat walaupun ketika itu kawasan persekitaran di bom.

Terowong ini mempunyai tempat tidur, menyimpan makanan, stesen radio, bilik bacaan, mesyuarat, memasak selain latihan ketenteraan.

No comments: