Sunday, September 21, 2008

Keajaiban Piramid
Oleh Roslan Ibrahim
lann@hmetro.com.my



TAHUN lalu, saya mendakap Tembok Besar China dalam suhu paras beku. Tahun ini saya berdiri penuh kagum dalam cuaca panas terik di hadapan salah satu daripada tujuh keajaiban dunia, Piramid di Mesir.

Saya kepingin melihat sendiri rahsia di sebalik reka bentuk binaan agung di dunia itu kerana selama ini hanya membaca buku dan menonton dokumentari di televisyen.


Alhamdulillah, Allah memakbulkan doa kerana dalam perjalanan ke bumi Anbia untuk mengerjakan umrah, saya singgah seketika di Mesir.

Saya seperti tidak percaya melihat seni bina Piramid itu yang tingginya kira-kira 147 meter itu. Ahli arkeologi percaya binaan itu menggunakan 100,000 hamba abdi dan siap dalam tempoh 30 tahun.

Lebih terpegun, binaan itu menggunakan 2.3 juta batu batan yang beratnya di antara 2.5 tan hingga 16 tan setiap satu.

“Memang tidak masuk akal...,” kata saya memikirkan makhluk bagaimana yang mampu mengangkat batu seberat ini, apatah lagi ketika itu tiada jurutera, arkitek atau pakar kaji bumi.

Justeru tidak hairan ada yang mendakwa Piramid dibina makhluk asing.

Mengikut sejarah, monumen ini dibina atas arahan pemerintah Mesir Purba, Firaun Khufu sekitar tahun 2,560 Sebelum Masihi untuk dijadikan makamnya. Ia menjadi binaan tertinggi di dunia selama lebih 43 abad.

Saya mencuba mendaki binaan itu tetapi dalam cuaca panas terik, badan cepat letih apatah lagi untuk masuk ke dalam Piramid. Saya dinasihatkan tidak berbuat demikian kerana di dalam Piramid oksigen amat terhad.

Saya mengambil peluang menyentuh batu bata yang menghasilkan binaan Piramid selain merakam gambar bersama ahli rombongan lain kerana ini mungkin peluang seumur hidup.

Selepas dua jam di Giza melihat kehebatan Piramid, kami dibawa mengunjungi Muzium Mesir untuk melihat mumia, pakaian dan keranda Firaun daripada emas selain patung Cleopatra.

Pengunjung dikenakan bayaran RM40 (AS12) untuk melihat mumia. Takut memang takut tetapi kerana tidak mahu terlepas peluang melihat sendiri bagaimana rupa mumia, saya memberanikan diri.

Balik ke hotel, saya membaca apa sahaja ayat al-Quran yang teringat, bimbang jika berlaku sebarang perkara tidak diduga tetapi perlahan-lahan saya melelapkan mata tanpa sebarang mimpi ngeri bertemu mumia.

Esoknya, rombongan kami mengunjungi kota lama Iskandariah atau Alexandria, bandar kedua terbesar di Mesir.

Kota lama ini menjadi tumpuan penduduk Mesir untuk bersantai dan mandi manda kerana kedudukannya berhadapan Laut Mediterranean selain cuacanya sekitar 24 darjah selsius.

Di Iskandariah, saya turut mengunjungi istana Raja Farouk dan kawasan perkuburan lama, Kom Al Shokafa.

Di Mesir, saya tidak melepaskan peluang mengunjungi Masjid Al-Azhar yang dibina 1,025 tahun lalu. Masjid itu antara pusat pengajian ilmu tertua di dunia dan melahirkan ramai ilmuan Islam dan ulama.

Sebelum pulang ke hotel, tangan seperti gatal untuk membeli-belah, justeru kami singgah di bazar Al-Khalili untuk membeli cenderamata dan baju. Isteri saya seperti rambang mata melihat barangan yang dijual murah.

Sebelum berangkat ke Madinah, saya terbayangkan Piramid, binaan agung yang menjadi kebanggaan rakyat Mesir dan dunia. Jika monumen itu dianggap luar biasa dan ajaib, bayangkan kekuasaan Allah, tentu lebih besar dan maha agung.

No comments: