Sunday, September 21, 2008

Pesona air terjun 7 tingkat
Teks dan gambar Safuri Kamarudin
rencana@hmetro.com.my



JIKA berasa murung dan tertekan, ambil masa terluang untuk bersantai menikmati keindahan alam semula jadi di Hutan Lipur Bukit Hijau, Baling.

Minda yang berserabut pasti tenteram apabila menyaksikan deruman air terjun tujuh tingkat di hutan ini.


Mula dimajukan pada 1989, pembangunannya mengambil kira konsep percutian keluarga. Kemudahan prasarana disediakan seperti gerai makan, surau, pondok rehat, tempat letak kereta dan chalet menjadikannya sesuai sebagai destinasi percutian hujung minggu.

Hampir saban minggu, pelajar, kaki tangan awam dan ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengadakan latihan berkumpulan.

Kebanyakannya turut bermalam di hutan lipur ini dengan mengadakan aktiviti perkhemahan unggun api.

Beberapa pengusaha chalet di sini turut menawarkan pelbagai aktiviti lasak termasuk pengembaraan merentas denai dalam hutan, meniti jambatan gantung dan “flying fox” sepanjang 200 meter.

Selain itu, aktiviti lebih mencabar dan menguji ketahanan diri juga ada termasuk `jungle survival' dan `war games'. Aktiviti seumpama ini melonjakkan nama Bukit Hijau sebagai destinasi eko-pelancongan utama di utara tanah air.

Selain menyaksikan keindahan air terjun tujuh tingkat di hutan lipur ini, pencinta alam pasti terpesona dengan lebih 250 jenis tumbuhan yang direkodkan di taman herba di sekitar kawasan Bukit Hijau.

Pengunjung tidak perlu risau sekiranya perut sudah berkeroncong selepas puas mandi-manda. Ada beberapa gerai makan menyajikan hidangan selera kampung. Jamulah selera di pinggir air terjun tetapi jangan sesekali membuang sisa makanan anda merata-rata.



>Info

>Hutan Lipur Bukit Hijau terletak kira-kira 40 kilometer (km) dari bandar Kulim. Destinasi popular ini sudah lama menjadi tumpuan penduduk tempatan dan kawasan sekitar termasuk Pulau Pinang untuk bersantai bersama keluarga pada hujung minggu.



CARA KE SANA

>Dari Kulim: Perjalanan sejauh 42 km menuju Padang Meha dan terus ke Kampung Labu Besar. Dari kampung itu, teruskan perjalanan ke Malau. Selepas 15 minit, anda akan sampai ke pusat peranginan itu.

>Dari Baling: Perjalanan melalui Kupang dan Kuala Pegang. Dari situ, terus ke Kampung Batu 7, ikut simpang sebelah kiri melalui Jalan Ladang Badenok ke Kampung Bakai. Dari situ, anda perlu melalui Jalan Ladang Bakai untuk sampai ke destinasi itu.

>Dari Sungai Petani: Anda perlu ke Kuala Ketil dan teruskan perjalanan ke Kampung Batu 7. Dari situ, ikut simpang di sebelah kanan melalui Jalan Ladang Badenok ke Kampung Bakai. Teruskan perjalanan melalui Jalan Ladang Bakai untuk tiba ke pusat peranginan itu.

No comments: