Sunday, September 21, 2008

TRAXXfm teman pelancong
Oleh Syah Rul Aswari Abdullah
srul@hmetro.com.my



KEMBARA anda ke destinasi kini tidak bersendirian lagi. TRAXXfm, saluran radio pelancongan pertama negara akan menemani perjalanan anda sambil menyalurkan maklumat terkini mengenai destinasi dan produk pelancongan, tempat makan dan pusat beli-belah di seluruh negara.

Saluran terbaru hasil kerjasama Kementerian Penerangan dan Tourism Malaysia itu akan bersiaran selama 12 jam sehari. Tiga jam daripadanya diperuntukkan untuk lintas langsung dari studio mini di Pusat Pelancongan Malaysia di Jalan Ampang, di tengah ibu kota.


Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek, berkata perkhidmatan itu boleh dinikmati mereka yang menempuh perjalanan panjang sama ada menggunakan kenderaan sen diri atau pengangkutan awam seperti teksi dan bas.

“TRAXXfm adalah radio pelancongan yang disasarkan untuk pelancong dan kita berhasrat untuk menjadikannya sebagai stesen paling dinamik di RTM (Radio dan Televisyen Malaysia),” katanya selepas majlis pelancaran saluran terbaru itu, baru-baru ini.

Hadir sama, Menteri Pelancongan, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Saluran yang dulunya dikenali sebagai Radio 4 itu akan memberikan pendengar mengenai maklumat pelancongan negara. Selain itu, ia turut menyelitkan maklumat mengenai tip melancong, pakej percutian dan fakta sejarah dan geografi negara.

Pendengar juga dapat mengetahui perkembangan mutakhir mengenai acara dalam kalendar pelancongan negara ter masuk konsert, festival dan acara sukan utama seperti Formula 1 dan Piala Monsun.

Azalina berkata, TRAXXfm akan menjadi pelengkap kepada aktiviti promosi pelancongan negara dan memajukan lagi industri berkenaan.

Beliau berkata, siaran radio itu juga akan mendidik rakyat supaya bersikap ‘ingat pelancongan dan lagak pelancongan’, di samping menimbulkan rasa cinta terhadap negara sen diri.

“Saya harap stesen radio ini akan dapat sambutan daripada pelbagai pihak yang terbabit dalam industri pelancongan terutama sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan.

“Stesen ini sentiasa memerlukan maklumat terkini dalam dan luar negara. Oleh itu, input dan maklum balas daripada pengusaha produk penting bagi menarik lebih ramai pe lancong ke Malaysia,” katanya.



>Info

>Mula bersiaran secara rasmi pada 28 Jun lalu menerusi frekuensi 90.3 fm di Lembah Klang. Maklumat lanjut, layari laman web www.traxxfm.net.

No comments: