Sunday, September 21, 2008

Homestay desa permai
Teks dan gambar Ainal Marhaton Abd Ghani
rencana@hmetro.com.my



MUTAKHIR ini, produk pelancongan ‘homestay’ di tanah rancangan Felda semakin popular. Secara tidak langsung, ia menjadi pendapatan sampingan golongan peneroka yang rata-ratanya bergantung kepada tanaman getah dan sawit.

Felda Jengka 25 umpamanya aktif mengadakan program homestay sejak empat tahun lalu. Suasana permai desa dan landskap hijaunya menarik kunjungan ramai tetamu dari dalam dan luar negara.


Pengurus Rancangannya, Zolkopli Soik, berkata Felda Jengka 25 menjanjikan panorama menarik dengan berlatar belakang pemandangan indah Gunung Senyum, hutan rekreasi popular terletak di tengah kehijauan ladang kelapa sawit.

“Kita mengetengahkan warisan tradisional menerusi hidangan, permainan rakyat, hiburan dan seni mempertahankan diri dalam usaha menambat hati tetamu homestay.

“Dengan cara ini, kita yakin, suasana harmoni dapat dipupuk di kalangan tetamu dan tuan rumah,” katanya.

Peserta program akan dibawa melawat kilang memproses sawit, mendaki Gunung Senyum, melawat lokasi bersejarah, menyusuri Sungai Pahang, menyaksikan demonstrasi membuat kuih tradisional dan menyertai aktiviti kemasyarakatan seperti kenduri perkahwinan.

“Kami sentiasa menjaga keindahan landskap kawasan tanah rancangan ini melalui konsep pelihara dan pulihara bagi memastikan kawasan keseluruhan mampu membantu membangunkan program homestay dengan lebih berjaya.

Menurutnya, pelancong luar negara terutama dari Jepun, Korea dan Amerika Syarikat begitu teruja dengan budaya masyarakat Melayu sehingga sering kali meminta menyertai program perkahwinan cara tradisional yang diadakan secara gotong-royong.

“Homestay ini kian popular apabila kebanyakan peserta yang pernah ke sini mempromosikan kepada rakan mereka apabila pulang ke tempat atau negara asal mereka,” katanya sambil berharap lebih banyak program homestay diwujudkan di tanah rancangan Felda seluruh negara.



>Info

>Homestay Jengka 25 terletak 20 kilometer dari Bandar Jengka menawarkan 58 rumah peneroka dengan 73 bilik. Hutan Lipur Gunung Senyum hanya terletak kira-kira 4.5 km dari perkampungan ini.

>Lima pakej dengan aktiviti menarik disediakan untuk tetamu. Pakej Harmoni (RM50), Pakej Budak Desa ke Kota (RM200), Pakej Kembara (antara RM60-RM200) dan Pakej Kursus (RM150 sehari).

>Pakej ‘Free and Easy’ pula hanya mengenakan bayaran penginapan bergantung kepada harga yang ditawarkan peserta homestay pilihan mereka.

>Kebanyakan pelancong dari Australia, Amerika Syarikat, Ghana, Korea, Jerman, Nigeria, Singapura, Jepun dan Myanmar.

>Bagi menjamin keselamatan tetamu di tanah rancangan, unit Rela mengadakan kawalan keselamatan harian mulai 10.00 malam hingga 4.00 pagi.

No comments: