Sunday, September 21, 2008

Suite mewah RM8,000 semalam

TIGA suite dengan tema berbeza - Phoenix, Marilyn Monroe dan Topkapi - kemewahan peribadi di lantai seluas 11,000 kaki persegi menjadi tarikan utama Hotel Legend Kuala Lumpur.

Pengurus Komunikasinya, Lee Meng Hong, berkata pihaknya sering mendapat pertanyaan dan tempahan mengenai 'suite' penthouse Monroe daripada tetamu yang terpesona dengan kehebatan simbol seks Hollywood itu.


"Ada tetamu yang tinggal di suite ini untuk tempoh sebulan. Keistimewaan suite ini terletak pada gaya hiasan dalamannya yang mengembalikan kegemilangan bintang yang terkenal di serata dunia itu," katanya.

Suite berharga sekitar RM8,000 semalam itu adalah antara 620 bilik dan suite ditawarkan di Hotel Legend. Asalnya, penginapan ini dibina bagi menampung permintaan pelancong terutama MICE dengan pembinaan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan pusat beli-belah, The Mall.

Sejak membuka pintunya lebih 14 tahun dulu, hotel ini menjadi penginapan utama untuk peserta dan pengunjung pelbagai pameran tempatan dan antarabangsa yang berlangsung di PWTC.

"Kebanyakan mereka mempunyai acara memilih hotel kami sebagai penginapan mereka. Kami juga sering menerima tempahan berkumpulan daripada agensi kerajaan dan kumpulan konvensyen," katanya.

Lee berkata, rata-rata tetamu menyenangi hotel itu berikutan lokasinya yang terletak dalam jaringan pengangkutan awam utama di tengah ibu kota seperti Star-LRT dan monorel.

"Ini memudahkan tetamu yang ingin meneroka tarikan pelancongan dan kawasan beli-belah di Bukit Bintang dan Jalan Tuanku Abdul Rahman," katanya.

Maka, tidak hairanlah, kadar penginapan mencecah sehingga 95 peratus antara Julai dan Ogos, sebelum berlegar antara 60 dan 70 peratus pada bulan lain.


TEMPAT MAKAN
Museum Chinese Restaurant menawarkan pengalaman 'bersantap' bagai maharaja China. Pelayan yang memakai pakaian tradisional dinasti Qing bakal menyajikan kombinasi hidangan dinasti Manchu dan Han.

Manakala Restoran Jepun Gen pula tampil dengan hiasan 'avante-garde' dengan pengalaman menikmati hidangan sambil menyaksikan pemandangan indah Kuala Lumpur. Restoran ini dibahagikan kepada tiga - kaunter sushi dan sashimi; teppanyaki dan ruang makan utama.

Tetamu di tingkat lobi boleh mengunjungi Di-Atas Brasserie untuk sarapan bufet, makan tengah hari, maka malam dan minum petang hujung minggu. Atau menikmati kek enak dan minum di Berisi Lounge atau bersantai di pub, The Monkey Bar.

KEMUDAHAN PERSIDANGAN
Dewan utama tanpa tiang dengan keluasan 10,000 kaki persegi seakan-akan mengembalikan kegemilangan bangsawan Eropah. Pilihan lain termasuk tujuh bilik mesyuarat dan tiga bilik lebih kecil.

PROMOSI
'Flavors of Ramadhan' menawarkan enam menu utama meliputi 100 hidangan tempatan dan antarabangsa di Di-Atas Brasserie. Bufet berbuka puasa ini ditawarkan pada harga dari RM75 (dewasa) dan RM37.50 (kanak-kanak). Tempahan, hubungi 03 4042 9888 sambungan. 9032, atau emel fb@legendsgroup.com.

INFO
The Legend Hotel
Tel: 03 4042 9888
Faks: 03 4043 0700
Talian bebas tol: 1 800 88 3390
E-mel: reservation@legendsgroup.com
http://www.legendsgroup.com/legendkl/

source: Syah Rul Aswari Abdullah (hmetro.com.my)

No comments: