Sunday, September 21, 2008

Percutian musim panas Hong Kong
Teks dan gambar Rahayu Mohd Salleh
ayu@hmetro.com.my



HUJAN lebat yang mencurah-curah hampir dua minggu lamanya di bumi Hong Kong itu nyata mengundang ke risauan.

“Sukar mahu berjalan di dalam hujan apatah lagi mahu menikmati keindahan Hong Kong di atas duk ling,” kata Willie Fung dalam bahasa Indonesianya.


Pemandu pelancong ditugaskan Lembaga Pelancongan Hong Kong (HKTB) itu sudah menjangkau usia 66 tahun tetapi sama seperti rata-rata penduduk Hong Kong, dia memang kuat berjalan.

Berjalan kaki sebenarnya dianggap lebih mudah terutama apabila lalu lintas agak sesak. Lantas, laluan bawah tanah lazimnya sering dipenuhi warga Hong Kong yang mahu ke pelbagai destinasi.

Ketibaan penulis bersama rakan media atas undangan HKTB sempena promosi pelancongan musim panas kali ini disambut dengan cuaca elok tanpa ribut mahupun hujan yang lazimnya membasahi pulau itu pada musim berkenaan.

Rata-rata kami memang banyak berjalan terutama di laluan bawah tanah berkenaan. Meskipun tinggal di daerah Tsim Sha Tsui di Kowloon, memang mudah untuk kami ke mana saja.

Menariknya, laluan bawah tanah itu bukan saja menye diakan kemudahan pengangkutan tren laju MTR malah laluannya dilengkapi pendingin udara serta deretan kedai yang memperagakan beraneka barangan.

“Kos penginapan yang tinggi di tengah kota Hong Kong itu menyebabkan ramai yang lebih selesa tinggal di Kowloon atau New Territories dan berulang-alik ke tempat kerja di pulau Hong Kong menggunakan pengangkutan awam khususnya tren.

“Untuk pelancong pula, tren memang alternatif yang cukup sesuai apatah lagi perkhidmatan awam itu menghubungkan pelbagai destinasi dalam tempoh agak singkat termasuk ke Disneyland,” katanya.

Untuk ke lokasi yang menjadi tarikan kanak-kanak itu, pengunjung perlu berhenti di stesen Sunny Bay apabila menggunakan perkhidmatan tren MTR berkenaan.

Kanak-kanak tentunya cukup terpesona dan seronok de ngan pelbagai pilihan permainan di taman itu namun bagi si dewasa, ada beberapa permainan yang harus dicuba.

Space Mountain, misalnya, ibarat menaiki roller coaster di tengah kegelapan, memang tidak sah jika tidak menjerit ketakutan!

Jika sudah berada di taman itu sehari-harian, usah ter buru-buru pulang kerana tepat jam 8 malam, permainan bunga api menarik tentunya membuatkan si kecil terpegun.

Ocean Park, satu lagi taman tema yang menjadi tarikan bukan saja di kalangan warga Hong Kong malah menarik kehadiran penduduk di tanah besar China.

Taman di Aberdeen ini memang luas malah dilengkapi pelbagai permainan serta pertunjukan haiwan laut dan darat termasuk kehadiran panda dalam sangkar kaca yang asyik mempamerkan pelbagai gelagat lucu masing-masing.

Puas menikmati pelbagai permainan dan pertunjukan di Disneyland atau Ocean Park, Hong Kong menyajikan pelbagai tarikan untuk pelancong yang sedia menjelajah ke pelosok pulau itu.

Dalam kepesatan kota yang banyak ditunjangi bangunan pencakar langit dengan reka bentuk mengagumkan itu, HKTB sebenarnya ada alternatif tersendiri untuk mengimbau nostalgia kapal kayu yang dikenali sebagai duk ling (se butannya dak ling).

Atas permintaan dan cuaca pula elok, pengunjung boleh merasai pengalaman menaiki kapal dilengkapi layar merah yang dulu lazim digunakan untuk menangkap ikan. Namun, ada juga duk ling yang menjadi bahtera si lanun.

Musim panas antara waktu yang sesuai menaiki duk ling, itu pun jika tidak hujan. Meskipun berada pada musim panas, mentari tidak begitu membahang manakala hembusan angin memang menyegarkan sambil menjamu mata dengan pe mandangan indah bangunan pencakar langit.

Untuk mereka yang mahukan cenderahati berasaskan jed, usah lupa singgah sebentar di pasar jed yang mempamerkan bermacam rekaan aksesori diri seperti rantai, gelang dan cincin di samping pelbagai hiasan dalaman comel.

Jika ada kesempatan, kunjungan ke Flower Market Street juga menarik terutama bagi mereka yang gemar menikmati keindahan bunga-bungaan.

Menaiki tren ke Tung Chung sebelum menaiki pesawat Cathay Pacific untuk pulang ke tanah air, penulis masih teringat-ingatkan Space Mountain serta keenakan cheong fun.

Namun, kepenatan selama empat hari banyak mengunci mulut sepanjang perjalanan ke lapangan terbang. Biarpun singkat, lawatan empat hari itu memang banyak mengukir kenangan sukar dilupakan di bumi yang sebelum ini begitu asing bagi penulis.



>Info

APABILA berada di Hollywood Road yang juga ber sebelahan dengan Soho, usah ketinggalan menaiki tangga bergerak terpanjang di pulau itu.

Di tengah perjalanan tangga bergerak itu letaknya masjid tertua di Hong Kong iaitu Masjid Jamia yang diapit kawasan kediaman dan perniagaan.

Satu lagi kawasan yang sering dikunjungi umat Islam, baik warga Hong Kong mahupun warga asing beragama Islam adalah Masjid Ammar dan Pusat Islam Osman Ramju Sadick yang terletak di bangunan yang sama.

Ada dewan komuniti di sini yang menyajikan makanan halal ala Hong Kong seperti dim sum. Antara sajian enak yang perlu dicuba adalah cheong fun yang diperbuat daripada tepung beras, berintikan daging dan dicicah dengan kicap.

Jika rajin meneroka jalanan sekitar Hong Kong, ada restoran diusahakan warga Melayu Singapura dikenali sebagai Sha dowman Cyber Cafe di Ashley Road, Tsim Sha Tsui yang menghidangkan pelbagai sajian tempatan halal.

No comments: