Sunday, September 21, 2008

Keajaiban Gua Mulu

APABILA bercadang bercuti, ramai daripada kita tertarik melancong ke negara asing. Tetapi pernahkah anda berfikir mengembara ke destinasi menarik di dalam negara?

APABILA bercadang bercuti, ramai daripada kita tertarik melancong ke negara asing. Tetapi pernahkah anda berfikir mengembara ke destinasi menarik di dalam negara?

Lagipun, bagi mereka yang memiliki bajet yang rendah, tambang penerbangan dan penginapan perlu diambil kira ketika melancong.

Di Sarawak, negeri Bumi Kenyalang, anda boleh meneroka beribu khazanah bersejarah, monumen dan artifak yang tidak ternilai serta kaya dengan hutan semula jadi dan spesies hidupan liar yang jarang ditemui.

Di Mulu, umpamanya, kembara dari gua ke gua merentas denai dan hutan belantara memang menyeronokkan. Walaupun Mulu terletak jauh ke utara, rangkaian gua yang mengagumkan di dunia pasti meninggalkan kenangan seumur hidup.

Bagi yang julung kali menjejakkan kaki, pasti akan memasang impian besar untuk kembali melawat Mulu.

Malah, kebanyakan pelancong Barat yang terpegun melihat keindahan Mulu, tidak akan pulang begitu saja, sebaliknya menghabiskan masa beberapa bulan menerokai setiap sudut di taman negara ini dengan sepuas-puasnya.

Walaupun Sarawak memiliki lebih 10 taman negara, hutan simpan dan taman santuari membabitkan keluasan lebih 300,000 hektar, Taman Negara Gunung Mulu di bahagian Miri boleh dikatakan destinasi pengembaraan paling popular.

Taman seluas 544 kilometer (km) persegi itu dibuka pada 1985 dengan tarikan utamanya Gunung Mulu - gunung tertinggi di Sarawak yang menjangkau ketinggian 2,376 meter dari paras laut.

Bagi anda yang memilih menaiki pesawat dari Miri ke Mulu, anda dapat perhatikan puncak gunung dikenali sebagai ‘pinnacles’, kelihatan berceracak dan tembus tajam dari hutan tebal menghias lanskap bumi Mulu.

Pinnacles itu dari Gunung Api, antara gunung yang membentuk rangkaian tarikan Taman Negara Gunung Mulu. Kebiasaannya tidak ramai yang akan menaiki pinnacles disebabkan mencabar dan tempoh pendakian lama diambil.

Pada masa sama, seseorang itu memerlukan stamina dan kekuatan fizikal tinggi untuk sampai ke puncak. Disebabkan ini, empat gua lain seperti Gua Rusa, Lang, Air Jernih dan Angin lebih diminati berikutan ia diterangi lampu dan sudah mempunyai laluan pejalan kaki.

Walaupun trek jalan yang terdapat di empat gua ini tersedia ada, pelancong cuma perlu memberi sedikit perhatian ketika mengharungi beberapa anak sungai, memanjat batu dan memijak tahi kelawar.

Dihubungkan dengan laluan sejauh tiga km, perjalanan ke Gua Rusa seluas dua km persegi dan kira-kira 120 meter (m) tinggi ini merentasi paya dan gua batu kapur. Dahulunya gua ini adalah penempatan penduduk justeru dikenali Gua Payau.

Oleh kerana Gua Rusa dihuni kelawar, antara jam lima hingga tujuh malam anda boleh saksikan pertunjukan “udara“ jutaan ribu kelawar keluar mencari makan. Mereka membentuk jaluran laluan di langit biru.

Ketika memasuki pintu utama gua ini, anda dapat saksikan burung layang-layang membina sarangnya selain laluan ke dalam gua juga agak licin dipenuhi najis kelawar. Di sini juga terbentuknya sebahagian figura wajah negarawan Amerika, Abraham Lincoln.

Jelajah ke Gua Rusa tidak lengkap tanpa berkunjung ke Gua Lang yang bersambung antara keduanya. Gua Lang kecil tetapi amat indah dengan pembentukan stalaktit dan stalagmit membentuk landskap gua yang begitu mengasyikkan.

Sebaik menyaksikan kehebatan gua ini yang berusia jutaan tahun itu, anda perlu melawat dua lagi gua. Perjalanan ke Gua Air Jernih dan Angin menghiburkan, kerana anda merasai pengalaman merentas Sungai Melinau sejauh lima km dengan menaiki bot.

Apa yang menariknya, sepanjang Sungai Melinau, pengunjung dapat saksikan kawasan penempatan masyarakat Penan dalam rumah pondok. Walaupun kebanyakan mereka mencari nafkah sebagai nelayan, tradisi lama masih diikuti.

Bagi mendekati kehidupan masyarakat Penan, anda boleh singgah ke kawasan penempatan mereka dan melawat bazar jualan kraftangan dihasilkan masyarakat di situ, sebelum meneruskan perjalanan bot ke dua gua eksotik.

Perjalanan ke pintu Gua Angin mengambil masa 15 minit. Sebagai gua terpanjang di Asia, Gua Angin mendapat nama kerana sebaik masuk, suasana di dalam amat dingin dan nyaman manakala Gua Air Jernih pula memiliki sebatang sungai.

Gua Angin dan Air Jernih terletak sebelah menyebelah sebagaimana Gua Rusa dan Gua Lang. Setiap gua ini mempunyai tarikan masing-masing seperti sejarah, asal usul dan kepercayaan masyarakat setempat.

Jika mendengar cerita pemandu pelancong atau penduduk tempatan berbangsa Begawan dan Penan, kaum Hulu akan bercerita mengenai peristiwa menarik dan aneh di situ.

Mendengar cerita seperti ini, pasti tertanya-tanya sama ada ia benar atau dongengan? Apa pun, sepanjang mendaki, anda boleh saksikan tumbuhan dan hidupan yang sukar ditemui di rimba lain.

Anda juga boleh melihat belian dan beruang dengan menaiki laluan kanopi di atas pokok, setinggi 480 m dari bawah.



Profil


  • Taman Negara Gunung Mulu - 544 km persegi

  • Tarikan : Empat Gua iaitu Gua Rusa, Gua Lang, Gua Angin dan Gua Air Jernih, Mercu Tajam `Pinnacles’, “Canopy Skywalk”, pengembaraan lasak gua, “trail headhunters” dan aktiviti penerokaan taman negara pada waktu malam.

  • Taman Negara ini mendiami ribuan spesies tumbuhan seperti paku, kulat, pokok herba, orkid liar, pokok berharga seperti belian, meranti, benuang, kayu ara serta hidupan seperti kijang, rusa dan pelbagai spesies kelawar dan monyet.

  • Aktiviti : Mendaki gua, berkelah, memancing, menerokai pokok herba, berenang di sungai, berjalan kaki, melawat bazar kraftangan masyarakat Penan.

    Cara ke sana :

  • Kemudahan penerbangan tempatan dari Kuala Lumpur ke Miri (perjalanan dua jam) dan dari Miri ke Mulu (30 minit), menggunakan pesawat ringan.

  • Kemudahan Penginapan : Terdapat chalet dan resort seperti Park Headquarters taman negara dan Royal Mulu Resort.


  • Source: Yooga Rani Murugiah (hmetro.com.my)

    No comments: