Sunday, September 21, 2008

Damai di Mayangsari Resort
Oleh Zaid Salim
am@hmetro.com.my



ADUNAN Bali dan Minangkabau pada reka bentuk Mayangsari Resort, Dungun, Terengganu memberikan kelainan berbanding pusat penginapan lain di daerah itu selain menjadi pilihan pelancong dalam dan luar negara.

Selain keunikan reka bentuk restoran yang menggunakan sebilangan besar batang nibung sebagai tiang, lokasinya di pinggir Pantai Teluk Lipat memberi ketenangan dan kedamaian kepada tetamu yang menginap di situ.


Mayangsari Resort yang menghadap Laut Cina Selatan dahulunya dikenali dengan nama Dungun Beach Resort beroperasi dengan wajah baru sejak dua tahun lalu.

Bertemakan air dan landskap, resort yang diilhamkan pemiliknya, Abd Baith Azman mempunyai 85 bilik iaitu 15 unit Pool Villa, 40 unit Garden Villa dan 30 unit Water Villa yang dibina di tapak seluas 1.25 hektar dengan kadar penginapan antara RM50 hingga RM400 semalam.

“Harga yang berpatutan menyebabkan ia dijadikan tempat menginap penuntut IPT yang mengikuti seminar di daerah ini,” katanya.

Abd Baith berkata, bilik Pool Villa yang berkonsepkan Bali mendapat permintaan tinggi di kalangan pengunjung kerana menginap di situ bagaikan tinggal di rumah sendiri.

Katanya, Pool Villa mengandungi dua bilik iaitu bilik satu katil pelamin dan bilik dua katil dengan dua bilik air dilengkapi halaman mini, tempat bersantai, kolam ikan dan kolam renang yang sesuai untuk percutian seisi keluarga.

“Bilik ini belum siap sepenuhnya dan masih dalam pembinaan. Bagaimanapun, sebagai percubaan, daripada 15 unit itu, tiga daripadanya dijual kepada pengunjung dan operasi sepenuhnya bermula menjelang Januari tahun depan.

“Bagaimanapun, kadar sewa bilik ini ketika itu akan mencecah RM1,000 kerana menyediakan pelbagai kemudahan termasuk lapangan golf mini,” katanya.

Garden Villa pula berkonsep banglo empat bilik yang dilengkapi ruang tamu, perabot, peti sejuk dan televisyen serta kemudahan tempat letak kereta.

Sementara Water Villa berkonsepkan bilik bajet dan mendapat sambutan di kalangan penuntut IPT.

“Water Villa mengandungi empat blok dan setiap bilik dilengkapi televisyen dan satu katil bersaiz besar dan kolam ikan dibina antara blok dengan blok,” katanya.

Terletak di Kampung Sura Tengah kira-kira lima kilometer dari bandar Dungun, jarak perjalanan hanya 10 minit dari bandar itu melalui Jalan Pantai Teluk Lipat.

Orang ramai yang mahu maklumat lanjut atau tempahan boleh menghubungi 09-84578845 atau melayari laman web: www.mayang.com.

No comments: