Sunday, September 21, 2008

Gunung Senyum 20 gua
Teks dan gambar Syed Abdullah Syed Nordin
rencana@hmetro.com.my


MISTERI di Hutan Lipur Gunung Senyum, Pahang mungkin tidak diketahui umum. Bagi mereka yang inginkan pengalaman beriadah sambil melancong ke lokasi percutian penuh misteri, ia mungkin menjadi lokasi terbaik buat anda.

MISTERI di Hutan Lipur Gunung Senyum, Pahang mungkin tidak diketahui umum. Bagi mereka yang inginkan pengalaman beriadah sambil melancong ke lokasi percutian penuh misteri, ia mungkin menjadi lokasi terbaik buat anda.

Gunung Senyum (1,594 m) di Jengka, Maran, kira-kira 40 kilometer (km) dari Bandar Pusat Jengka ini dibuka sebagai hutan rekreasi pada Julai 1989.


Selain menjadi kediaman pelbagai spesies flora dan fauna, ia menawarkan pemandangan indah landskap semula jadi bukit batu kapur.

Hutan Lipur Gunung Senyum meliputi kawasan seluas 794 hektar dan menjadi sebahagian Hutan Simpan Jengka 1,2,3 dan 4.

Di sini, anda dapat menyaksikan keindahan dua puncak iaitu Gunung Senyum dengan kira-kira 20 gua dengan tapak arkeologi dan Gunung Jebak Puyoh.

Selain Gua Angin yang popular, tarikan lain yang menjadi tumpuan pencinta alam sekitar termasuk Gua Terang Bulan, Gua Taman Satu, Gua Kelawar, Gua Kambing dan Gua Makam Tok Long.

Gua ini terhasil oleh perubahan dan hakisan pada permukaan batu kapur di kawasan Gunung Senyum.

Kebanyakan gua di Gunung Senyum itu juga dikatakan masih mengalami proses pertumbuhan stalagmit dan stalaktit. Kawasan hutan lipur ini juga menyimpan pelbagai herba yang mempunyai nilai perubatan komersial.

Setiap gua memiliki keistimewaan tersendiri dan kisah di sebaliknya dipaparkan pada papan tanda untuk kemudahan pengunjung. Misteri dan keunikan ini menjadi tarikan utama pengunjung yang menjejakkan kaki ke hutan rekreasi ini.

Antara legenda paling terkenal di Gunung Senyum dan masih disebut-sebut sehingga kini mengenai kisah Tok Long. Ia mengisahkan seorang lelaki berhati mulia, Tok Long yang dikatakan pernah mengahwini gadis bunian di kawasan gunung ini.

Akibat melanggar janji, Tok Long gagal menemui kembali isterinya di alam bunian menyebabkannya mengambil keputusan untuk bertafakur di dalam sebuah gua di situ sehingga meninggal dunia. Kubur di Gua Makam Tok Long dikatakan bukti kisah lama yang diperturunkan dari generasi ke generasi.

Meskipun tiada kisah aneh berlaku kini, gua di sini tetap mempunyai daya tarikan semula jadi untuk menggamit kedatangan anda.

Dari kajian arkeologi, hutan lipur dikatakan menyimpan sejarah kehidupan manusia Zaman Mesolitik, malah kajian berkaitan penemuan bersejarah ini masih diteruskan sehingga hari ini.

Bagi penggemar aktiviti lasak, perkhemahan dan merentas denai hutan untuk menyaksikan keindahan flora dan fauna menjadi aktiviti paling popular mereka yang pernah berkunjung ke sini.

Terlanjur ke hutan lipur ini, jangan lupa singgah menginap di homestay Felda Jengka 25 atau chalet bajet bagi melengkapkan percutian anda.

Bagaimanapun, mereka yang berhasrat untuk meneroka gua ini perlu mendapatkan khidmat pemandu pelancong dan mendaftar dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk mengelak sebarang kejadian tidak diingini.



>MESTI BUAT

>Meneroka gua, pendakian, merentas denai, perkhemahan antara aktiviti utama yang boleh dilakukan secara berkumpulan di sini. Bagaimanapun, ia mesti dilakukan dengan bimbingan pemandu pelancong terlatih.

>Ekspedisi menjelajah gua boleh makan masa antara dua dan enam jam. Aktiviti ini boleh disesuaikan dengan kebolehan peserta.

>Banjaran bukit yang mengelilingi gunung ini menyimpan 20 daripada 25 gunung membentuk Hutan Lipur Gunung Senyum. Semuanya dalam kawasan seluas 794 hektar.

>Ada rumah tradisional Melayu Pahang dikatakan milik Datuk Seti Amar Mohamad Yassin Stan, antara orang kenamaan negeri ini dipercayai dibina pada 1907.

>Homestay Jengka 25, 180km dari Kuantan menjanjikan pengalaman percutian dalam suasana ladang kepala sawit. Selain itu, penempatan luar bandar, Rumpun Makmur turut menjadi tarikan kepada mereka yang inginkan suasana estet di tengah Pahang.



>INFO GUNUNG SENYUM

>Terletak 40 kilometer dari Temerloh dan 20 kilometer dari Bandar Pusat Jengka, Maran.

>Pengunjung boleh menaiki kenderaan sendiri atau menyewa pengangkutan awam ke destinasi ini dengan melalui laluan di Felda Jengka 25, Maran atau masuk di Persimpangan Kampung Awah, Temerloh.

>Tiada bayaran dikenakan untuk masuk ke Hutan Lipur Gunung Senyum.

>Masih mengalami proses pertumbuhan stalagmit dan stalaktit.



>RUJUKAN PERCUTIAN

Pejabat Hutan Daerah Temerloh

Tel: 09-2962755 / Faks: 09-296239



Tourism Malaysia - Pahang

Tel : 09-517 7113/7115 /Faks : 09-517 7114

www.pahangtourism.com.my



Tourism Malaysia

Tel: 03-2615 8188 / Faks: 03-2693 5884

Talian Pelancongan : 1-300-88-5050

No comments: