Sunday, September 21, 2008

Firefly terima pesawat ATR 72-500 pertama





MULA beroperasi pada April 2007 Firefly, syarikat komuniti penerbangan pertama negara kini memasuki pasaran tambang murah tempatan dengan tagline ‘Mengembalikan keriangan dalam penerbangan’.

Dari habnya di Pulau Pinang dan Subang, Firefly menyediakan laluan penerbangan terpantas di Semenanjung, selain beberapa destinasi pelancongan popular di Thailand.


Pengarah Urusannya, Eddy Leong, berkata Firefly menjimatkan masa penumpang feri, bas dan bot untuk terbang ke destinasi mereka.

Terbaru, syarikat milik Penerbangan Malaysia (MAS) ini menerima pesawat ATR 72-500 pertama daripada 10 yang ditempahnya.

Leong berkata, ATR 72-500 menjimatkan penggunaan bahan api dan mengurangkan kos penyelenggaraan sekali gus mengurangkan pencemaran kepada alam sekitar.

"Sejak Firefly beroperasi April tahun lalu, kami beroperasi dengan tiga pesawat Fokker 50 ke sembilan destinasi.

“Selepas menerima pesawat baru ini, kami akan meluaskan destinasi ke beberapa tempat baru," katanya selepas majlis penerimaan ATR 72-500 di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), baru-baru ini.

Hadir sama, Menteri Pengangkutan, Datuk Ong Tee Keat; Pengarah Urusan Penerbangan Malaysia (MAS) yang juga Pengerusi Firefly, Datuk Seri Idris Jala dan Ahli Lembaga Pengarah Firefly, Tengku Datuk Azmil Zahruddin Raja Abdul Aziz.

Selain itu, Firefly akan memperkenalkan laluan baru dari Subang ke Medan dan Haadyai, mulai 26 Oktober depan.



>Info

>Firefly kini menjadi syarikat penerbangan pertama beroperasi dengan pesawat berkuasa turbo berkembar. Ia mengadakan penerbangan dari Subang ke Koh Samui (Thailand), Pekanbaru dan Banda Aceh (Indonesia). Selain itu, laluan baru termasuk Pulau Pinang ke Medan dan Banda Aceh.

>Dalam negara, Firefly terbang ke uk Kuantan, Kuala Terengganu, Kota Bharu, Langkawi dan Johor Bharu. Maklumat lanjut mengenai pakej dan promosi menarik, layari www.fireflyz.com.my atau hubungi pusat khidmat pelanggan di talian 03-7845 4543.

>Ketika ini, ia beroperasi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan LTSAAS dengan kelebihan had bagasi 20 kilogram untuk setiap penumpang.

No comments: