Sunday, September 21, 2008

Detik cemas kayak bocor
Oleh Syah Rul Aswari Abdullah
srul@hmetro.com



BERKAYAK sepanjang 118 kilometer (km) dalam tempoh dua hari memang menuntut stamina dan keazaman tinggi. Lebih mencabar apabila ekspedisi ini bakal merentasi dua tasik air tawar semula jadi negara - Tasik Bera dan Tasik Cini dan sungai terpanjang di Semenanjung, Sungai Pahang.

Bagaimanapun, semua faktor itu tidak dijadikan batu penghalang kepada penyampai berita Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan pengantara program Galeri Perdana, Bani Manjaya, 35, untuk sama-sama menyertai acara anjuran Majlis Tindakan Pelancongan Pahang itu.


Ekspedisi Tasik Bera dan Tasik Cini tahun ini menarik penyertaan lebih 100 orang meliputi wakil media, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pencinta alam, bulan lalu. Di tasik, peserta berkayak, manakala peserta 4 x 4 pula menjelajah denai sepanjang ekspedisi tiga hari dua malam itu.

“Walaupun kali pertama menyertainya, rata-rata peserta tidak menghadapi masalah untuk menamatkan ekspedisi walaupun adakala rasa macam nak tercabut tangan berkayak.

“Antara kenangan tak dapat dilupakan apabila terpaksa makan nasi dalam kayak kerana terpaksa mengejar masa untuk berkayak ke garis penamat.

“Walaupun lauk tidak semewah mana, semuanya habis kerana terlampau kepenatan,” katanya.

Ekspedisi ini merangkumi Kuala Bera, Kuala Bor, Sungai Cini sebelum memasuki Tasik Cini. Hari pertama menyaksikan peserta terpaksa berkayuh dari Tasik Bera ke Kuala Bor merangkumi jarak 60 km.

Hari berikutnya menyaksikan peserta berhempas-pulas dari Kuala Bor ke Tasik Cini, sepanjang perjalanan sejauh 58 km. Peserta perlu mengayuh tanpa henti berikutan perlu tiba di garisan penamat untuk majlis penutup sebelum jam 4.30 petang.

Bani berkata, arus sungai dan tasik yang deras akibat hujan malam sebelum memulakan ekspedisi memudahkan peserta berkayak walaupun ramai di kalangan mereka yang pertama kali menyertai acara lasak seumpama itu.

“Bagaimanapun, peserta terpaksa mengerah tenaga lebih pada hujung ekspedisi berikutan keadaan Tasik Cini yang begitu luas. Pernah sekali, kami berdepan situasi genting apabila ada kayak bocor, tetapi semuanya dapat menamatkan ekspedisi ini,” katanya.



>Info

>TASIK BERA

# Tasik Bera menjadi kediaman kepada lebih 374 spesies tumbuh-tumbuhan, lebih 200 burung, 68 mamalia dan 94 ikan. Daripada angka itu, 10 jenis tumbuhan endemik, selain satu spesies ikan dan tiga mamalia yang kian diancam kepupusan.

# Antara spesies ikan terancam yang boleh ditemui adalah Kelisa yang diburu sebagai ikan hiasan akuarium. Selain itu, Ikan Keli yang boleh membesar sehingga 1.5 meter (m) diketahui gemar berhijrah ke tasik ini apabila tiba musim bertelur.



>TASIK CINI

# Tasik Chini seluas 5,026 hektar adalah tasik air tawar kedua terbesar negara meliputi 12 tasik kecil. Sungai Cini punca tasik ini mengalir ke Sungai Pahang.

# Persekitaran tasik ini menjadi habitat kepada 138 spesies flora dan 300 spesies hidupan bukan akuatik dan 144 jenis ikan air tawar. Antara Ogos dan September, permukaan air diliputi teratai merah jambu dan putih merubah wajah tasik kepada taman bunga terapung.

No comments: