Sunday, September 21, 2008

Penginapan sesuai bajet

MEMILIH penginapan dekat pintu masuk menjadi keutamaan mereka yang pertama kali mengunjungi Taman Negara menerusi Kuala Tahan, Jerantut, Pahang.

Faktor jarak perlu diambil kira memandangkan kebanyakan aktiviti dan tarikannya terletak jauh antara satu sama lain.


Woodland Resort, umpamanya menyediakan kemudahan selesa di lokasi strategik iaitu beberapa minit berjalan kaki ke ibu pejabat Taman Negara. Istimewanya, pusat peranginan ini menawarkan pelbagai jenis penginapan disesuaikan bajet pengunjung.

Dari banglo kayu timber, chalet dan dorm, semuanya dibina tanpa “mengorbankan” landskap semula jadi hutan khatulistiwa yang menjadi tarikan utama pengunjung ke taman negara.

Walaupun membayar kurang, mereka yang menginap di dorm dapat menikmati semua kemudahan di sini.

Jurucakap Woodland Resort Taman Negara, berkata suite Chengal umpamanya menyediakan penginapan selesa dengan bilik tidur utama, jakuzi, bilik tamu dan ruang makan. Tetamu unit penginapan berdepan dengan pemandangan kolam mandi ini akan menerima sarapan percuma.

Untuk tetamu berkumpulan atau datang bersama ahli keluarga, ‘suite’ Seraya mungkin menjadi pilihan pengunjung walaupun tidak ditawarkan bersama sarapan pagi. Suite ini memiliki bilik tidur utama, katil berkembar dan dua bilik mandi.

Pengembara bajet pula boleh memilih penginapan asrama atau dorm yang menampung empat, enam atau lapan orang.

INFO TAMAN NEGARA

Berusia lebih 130 juta tahun, Taman Negara Pahang asalnya kawasan berburu raja Melayu pada 1938/1939. Ketika itu, dikenali sebagai King George V National Park bagi memperingati sambutan Jubli Perak Kerajaan British.

Selepas merdeka, ia ditukar kepada Taman Negara dan kini ditadbir Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan). Keluasan 4,343 km persegi, merangkumi tiga sempadan negeri iaitu Kelantan, Pahang dan Terengganu.

Memiliki lebih 14,000 spesies tumbuh-tumbuhan, 200 spesies mamalia dan 300 spesies burung hanya boleh dilihat di hutan hujan Khatulistiwa. Jika bernasib baik, pengunjung dapat melihat hidupan liar termasuk rusa, kancil, harimau yang biasa keluar pada waktu malam.

MESTI BUAT

Jambatan gantun ‘canopy walkway’ yang terpanjang di dunia iaitu sepanjang 400 meter dengan ketinggian 25 meter, menjadi tarikan utama pengunjung yang pertama kali menjejakkan kaki ke Taman Negara.

Aktiviti popular memerhatikan hidupan liar pada waktu malam. Selain itu, ada 13 laluan merentas denai untuk aktiviti (jungle trekking). Antaranya Rentis Simpon, Terasek, Bulatan Paya, Bulatan Rimba, Tabing dan Trenggan.

Penjelajahan gua juga boleh dilakukan dengan mengunjungi Gua Telinga, Daun Menari, Luas dan Peningat, menyusuri sungai dan jeram dengan bot panjang di Sungai Tembeling dan Sungai Tahan.



INFO

BAGAIMANA KE SANA?


Anda boleh melalui jalan darat iaitu Jalan Jerantut-Maran hingga ke Kampung Kuala Tahan. Bagaimanapun, jika mahukan cabaran, digalakkan menaiki bot dari Kuala Tembeling, Jerantut. Anda juga boleh menghubungi Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Pahang 09-5171115/5171111.

LOKASI

Woodland Resort Taman Negara
Peti Bersurat 3
27000 Jerantut
Pahang, Malaysia.
www.tamannegararesorts.net

Source: Syah Rul Aswari Abdullah (hmetro.com.my)

No comments: