Sunday, September 21, 2008

Warna-warna Jakarta
Teks dan gambar Syah Rul Aswari Abdullah
srul@hmetro.com.my


“KENAPA mau datang ke Jakarta?” Lagu rakyat Manado itu seakan-akan mewakili hasrat lebih 12 juta warganya yang membanjiri kota yang dikatakan ke-11 terbesar di dunia itu.

“KENAPA mau datang ke Jakarta?” Lagu rakyat Manado itu seakan-akan mewakili hasrat lebih 12 juta warganya yang membanjiri kota yang dikatakan ke-11 terbesar di dunia itu.

Memetik lidah akhbar mingguan negara itu, Jakarta adalah kota impian kepada setiap rakyat Indonesia, tak ubah seperti New York kepada warga Amerika.


Secara kebetulan, kunjungan penulis ke kota itu atas jemputan AirAsia baru-baru ini, jatuh pada sambutan ulang tahun Jakarta ke-481. Beberapa demonstrasi aman memprotes kenaikan harga minyak, tidak mengekang warganya yang kaki membeli-belah mengunjungi jualan lewat malam.

Memandangkan hotel penginapan Jayajakarta terletak di Jakarta Utara, penulis memilih menggunakan Busway, pengangkutan awam ala monorel, meredah ‘macet’ luar biasa untuk meneroka daerah komersial di pusat Jakarta.

Sekali imbas, Kuala Lumpur terlalu kecil jika dibandingkan dengan Jakarta. Pemodenan ini juga membawa kepada kemiskinan bandar yang parah. Di celah bangunan pencakar langit, peneroka bandar membina rumah daripada cebisan kotak atau berkampung di bawah jejambat.

Destinasi pertama adalah Kidzania, tarikan pembelajaran dan hiburan khusus untuk kanak-kanak - terletak di Pacific Place Mall, yang berkongsi bangunan dengan The Ritz Carlton. Perjalanan ke sini melewati Jenderal Sudirman - jalan utama menempatkan bank, kompleks beli-belah dan hotel antarabangsa.

Kidzania, jenama francais dari Mexico yang sudah meraih pengiktirafan Taman Tema Terbaik Dunia 2006 menawarkan lebih daripada taman permainan, dengan pilihan lebih 40 aktiviti interaktif. Bagi memberikan pengalaman sebenar, pengurusan mengadakan pakatan dengan sektor korporat dalam mengendalikan sesuatu aktiviti.

Namakan apa saja. Sama ada ingin menjadi doktor atau ahli bomba, membuat coklat, berlakon atau menjadi pembaca berita, latihan amali mengenai setiap kerjaya ini ditawarkan. Sebagai contoh, mereka yang ingin muncul di kaca televisyen akan diajar menyampaikan maklumat dalam suasana set sebenar bilik berita.

Malah, mereka juga berpeluang rasai sendiri pengalaman menjadi juruterbang dalam kokpit atau pramugari dalam pesawat Airbus sebenar milik AirAsia. Malah, kenderaan mini kereta bomba dan ambulans turut disediakan. Sejam sekali, kakitangan akan keluar ke luar premis masing-masing dalam kota ini untuk menari bersama pengunjung.

Jenderal Sudirman turut menempatkan beberapa bulatan yang menjadi tumpuan kerana monumen dan tugu peringatan simbolik kepada pembangunan Indonesia. Jalan sama turut menempatkan gedung beli-belah paling hip di Jakarta termasuk Plaza Indonesia serta Plaza Senayan dan Seibu, selain Monumen Nasional.

Secara kebetulan, hotel penginapan terletak berdekatan dengan Kota, antara penempatan awal kota Jakarta dan sarat dengan kesan peninggalan Belanda. Kawasan ini dahulunya pernah memiliki kota, gereja dan pelabuhan utama Sunda Kalapa - pintu masuk utama ke tanah Jawa.

Jakarta asalnya dikenali sebagai Sunda Kalapa (397-1527), Jayakarta (1527-1619), Batavia (1619-1942), and Djakarta (1942-1972). Zaman penjajahan Belanda menyaksikan nama Batavia digunakan, sebelum Jakarta kembali digunakan selepas pendudukan Jepun pada Perang Dunia Kedua.

Peninggalan Belanda ini jelas dilihat pada reka bentuk bangunan di sekitar Kota dan Sunda Kalapa. Malah, menurut peta asal, ada satu kawasan kota ini dinamakan sebagai Melaka, empayar yang pernah dijajah oleh kuasa Eropah itu pada suatu ketika.

Muzium Bahari berdekatan dengan Sunda Kalapa, asalnya gudang simpanan rempah Belanda kini menempatkan bahan pameran termasuk model kapal serta peralatan navigasi termasuk sauh, loceng dan lampu pandu arah yang digunakan dalam pelayaran.

Kehebatan pertukangan Bugis Makasar juga dapat dilihat menerusi model Perahu Pinisi, kapal sama yang meredah gelombang Lautan Atlantik, sebelum tiba di Kanada dan menyambung pelayaran ke Amerika Syarikat.

Tidak jauh dari pelabuhan, Taman Fatahillah adalah dataran menempatkan beberapa bangunan pentadbiran Belanda pada abad ke-18. Muzium Sejarah Jakarta yang asalnya Stadhuys atau Town Hall of Batavia, kini mempamerkan potret gabenor terdahulu dan perabot antik pada zaman kegemilangan Belanda.

Muzium Wayang yang asalnya bangunan gereja pula mengabadikan payung wayang kulit, hasil kerja tangan karyawan Indonesia. Muzium Senirupa dan Keramik yang pernah menjadi mahkamah Belanda pula mempamerkan koleksi ukiran seramik oleh seniman negara itu.

Jakarta sebenarnya kaya dengan bangunan bersejarah. Deretan gudang lama bertaburan di kawasan Kota, manakala vila milik keluarga kaya Belanda banyak di Menteng, sekali gus menukar wajah kawasan itu kepada syurga kafe dan barangan antik yang menjadi tumpuan warga asing yang menetap di sana.

Malangnya, kebanyakan muzium ini tidak diselenggara dengan baik sehingga ada kalanya agak menyeramkan. Bagaimanapun, berapa kerat yang sanggup mengharungi kesesakan di utara Jakarta untuk ke kawasan kota, sedangkan daerah pusatnya penuh dengan pelbagai kompleks beli-belah?

Tanah Abang menyediakan seribu satu macam barangan daripada telekung, fabrik kepada batik Indonesia. Mangga Dua pula popular dengan barangan berjenama tiruan, tetapi kedua-duanya menawarkan pelbagai fesyen dan bentuk pada harga borong.

Untuk yang berpoket tebal, anda mungkin boleh memilih berkunjung ke Grand Indonesia atau Pacific Place untuk mencari barangan berjenama atau ke Alun Alun Indonesia, jika mahu membelek cenderahati bermutu tinggi termasuk fabrik, perhiasan dan batik.

The Papilion di Kemang pula menempatkan butik pereka tempatan termasuk Biyan Living. Kawasan mirip Hartamas di Jakarta Selatan ini amat popular sebagai tempat lepak golongan muda dengan medan selera terbukanya yang sentiasa sesak dengan pengunjung.

Jakarta, walau tampak hebat dengan menara pencakar langit masih dibayangi pembangunannya yang tidak seimbang. Meskipun begitu, ia tidak mengikis rasa hormat warganya kepada seni dan budaya tradisi, yang menjadi nadi kehidupan kota di antara pulau paling padat dunia itu.

>INFO

>RIADAH KELUARGA
Taman Impiana -Ancol seluas 300 hektar bersempadan dengan laut ini menjadi pusat rekreasi keluarga terkini di Jakarta ketika ini. Pengunjung boleh mencuba pelbagai jenis permainan di Dunia Fantasi, taman air di Atlantis Water Adventure dan menyaksikan persembahan hidupan marin di Seaworld.

>TAMAN MINI INDONESIA INDAH
Mengunjunginya seolah menjelajah seluruh pelusuk Indonesia. Apa tidaknya, ia mempamerkan kediaman masyarakat di 30 wilayah negara itu sekali gus menyajikan lebih 250 budaya pelbagai etnik kaum Indonesia. Mesti lawat termasuk Muzium Indonesia dan panggung imax Keong Emas.

>KEPULAUAN SERIBU
Gugusan 330 pulau kecil yang bertaburan di Laut Jawa ini terletak dekat dengan utara Jakarta. Banyak bot kecil di Ancol dan jeti berdekatan sedia membawa pelancong ke pulau ini. Pulau amat popular di kalangan warga kota yang ingin lari daripada kesibukan Jakarta.

>RAGUNAN ZOO
Terletak di selatan Pasar Minggu, zoo seluas 185 hektar ini menempatkan lebih 3,600 spesies hidupan liar termasuk cicak besar Komodo. Pusat Primata Schmutzer pula menjadi kediaman kepada Orang Utan.

>SITU BABAKAN VILLAGE
Adat masyarakat Betawi, antara penduduk terawal Jakarta boleh disaksikan di perkampungan budaya ini di selatan Jakarta. Penduduknya masih mengamalkan adat lama yang diwarisi walau kebanyakan orang Betawi tidak lagi menghuni tengah kota Jakarta.

>UNTUK KE SANA
AirAsia mengadakan enam penerbangan harian ke Jakarta. Jaminan Ketepatan Waktu AirAsia membolehkan anda menerima baucar hadiah dalam talian E-Gift bernilai RM200. Maklumat lanjut, layari www.airasia.com. Anda juga boleh menempah pakej percutian atau hotel di http://goholiday.airasia.com/.

No comments: