Tawar ketenangan untuk warga kota
Oleh Syah Rul Aswari Abdullah
srul@hmetro.com.my
MENJANJIKAN keindahan pesisiran pasir pantai, Palace Beach & Spa menawarkan pakej percutian lengkap bagi mereka yang mahu lari seketika daripada kesibukan hidup di tengah Kuala Lumpur.
Malah, tidak keterlaluan dikatakan keindahan pantai buatan manusia seluas 2,100 kaki persegi berdepan dengan pemandangan tasik ini sudah sinonim dengan identiti pusat peranginan ini.
“Berbanding dengan Palace of Golden Horses yang dikenali dengan keindahan reka bentuknya, tarikan Palace Beach & Spa terletak pada konsep pusat peranginan tropika.
“Pantai buatan dilengkapi kolam dan berdepan pemandangan tasik pasti membuatkan tetamu tidak sedar mereka masih berada dalam bandar raya,” kata Eksekutif Perhubungan Awamnya, Zay Aw.
Bersaiz lebih kecil berbanding Palace of Golden Horses, pusat peranginan ini menawarkan 178 bilik dengan dekorasi tropika. Setiap bilik dilengkapi balkoni membolehkan tetamunya menikmati panorama indah tasik bekas lombong di Seri Kembangan itu.
Daripada jumlah itu, 125 adalah jenis superior atau standard, lima suite satu bilik tidur, 47 chalet dan satu suite diraja. Unit penginapan ini meliputi blok utama dan lapan chalet berdekatan kawasan tasik.
Keluasan tasik ini juga membolehkan tetamu menyertai pelbagai sukan air termasuk ‘wake boarding’, ‘water ski’ dan ‘banana boat boat’. Hajat untuk mengadakan aktiviti seperti ketika bercuti di pantai peranginan dapat dilaksanakan dengan bimbingan daripada kakitangan hotel.
Selang setengah jam sekali, teksi air membawa tetamu dari Palace of Golden Horses untuk ke Mines Shopping Fair akan berlabuh di jeti pusat peranginan ini. Pakej khas termasuk makan malam romantis sambil menyusuri tasik boleh diatur menerusi tempahan dengan pengurusan hotel.
“Teksi ini amat popular di kalangan pelancong Arab sehingga ada yang menempah teksi hanya untuk menyusuri tasik melihat pemandangan hujan,” kata Aw.
TEMPAT MAKAN
Pusat peranginan ini menawarkan empat kafe dan restoran. ‘Abdul & Charlie’ pula adalah coffee house menawarkan pengalaman menjamu selera dalam suasana kampung.
Restoran Makanan China Cheng Ho Court ini menawarkan selera Kantonis termasuk Dim Sum. Makanan ‘vegeterian’ juga disediakan di restoran yang pernah meraih Hidangan Makanan Cina Terbaik pada Anugerah Platinum Hospitaliti Asia 2005.
Beach Hut, kafe tepi pantai menawarkan lokasi santai sambil menikmati makanan dan minuman ringan.
Manakala ‘Sunset Lounge’ yang dilengkapi sofa rotan sesuai untuk melihat pemandangan indah matahari terbenam. Dengan alunan rangkaian lagu malar segar, tetamu pasti terlentuk apabila menikmati hembusan bayu tasik dari ‘lounge’ ini.
KEMUDAHAN
Palace Beach & Spa menawarkan dua dewan utama - Parameswara dan Hang Li Po.
Spa Zen pula menawarkan terapi urutan shiatsu, aromaterapi, batu panas dan refleksologi. Tingkat dua menempatkan kemudahan bilik stim, lounge, sauna dan bilik pasangan. Mines Shopping Fair dan Taman Tema Mines Wonderland terletak kurang lima minit.
Mines Cruise, perkhidmatan teksi air pula menghubungkan pusat peranginan ini dengan Palace of Golden Horses.
PROMOSI
Menyambut kedatangan Ramadan, Palace Beach & Spa mengajak warga kota berbuka tepi pantai di ‘Abdul & Charlie”. Menu termasuk gulai tempoyak ikan patin, nasi dagang dan ayam golek panggang. Manakala, pencuci mulut termasuk bubur lambuk dan kuih tradisional Melayu.
Bufet selera kampung ini ditawarkan RM58 (dewasa) dan RM29 (kanak-kanak). Mereka yang berkunjung pada minggu pertama puasa bakal menikmati harga istimewa serendah RM38. Tempahan, 03-8943 6688.
LOKASI
Palace Beach & Spa
Mines Resort City
Jalan Dulong
43300 Seri Kembangan
Tel: 03-89436688
Faks: 03-89435555
Emel:sales@pbs.com.my
Laman web: www.PalaceBeachandSpa.com.my
Gegaru
9 years ago
No comments:
Post a Comment