Sunday, September 21, 2008

Percutian penuh glamor di AAC
Oleh Syah Rul Aswari Abdullah
srul@hmetro.com.my



BAYANGKAN anda berjemur bersama selebriti di atas dek kapal layar mewah. Bersarapan di kelab marina sambil menghisap cerut bersama rakan pelayar.

Selepas tengah hari, belayar dari limbungan menuju laut lepas untuk menyaksikan pemandangan matahari terbenam di Selat Melaka. Menarik bukan?


Inilah pengalaman percutian glamor yang bakal didapati jika singgah di Avillion Admiral Cove (AAC), Port Dickson. Hotel lima bintang ini antara komponen utama projek pembangunan hartanah pusat peranginan marina antarabangsa bersepadu di atas tapak 40 hektar.

Selain AAC, projek ini menempatkan apartmen servis, kondominium, Admiral Marina & Leisure Club serta lot banglo pesisir pantai. Sejak mula dibangunkan lebih 10 tahun lalu, kebanyakan lot banglo ini sudah dibeli untuk dijadikan rumah percutian oleh pemiliknya.

Dari tingkap bilik, pengunjung dapat menyaksikan pemandangan indah kapal layar mewah milik “who’s who” yang singgah sebentar untuk mengisi bekalan dan bersantai bersama rakan pelayar sebelum meneruskan perjalanan ke negara destinasi masing-masing.

Prasarana bertaraf bertaraf antarabangsa ini memberikan kelebihan kepada marina ini sehingga beberapa kali menjadi tuan rumah kepada beberapa sirkit pelayaran antarabangsa termasuk Rali Kapal Layar Darwin-Bali-Langkawi 2008 dan Rali Kapal Layar Blue Water 2008.

“Seperti kebanyakan hotel lain di Port Dickson, kami menerima kunjungan warga tempatan dan Singapura yang mahu menghabiskan cuti hujung minggu. Hari lain dipenuhi kumpulan pelancong Korea, India dan Iran.

“Kebanyakannya memilih untuk singgah ke hotel ini sebelum meneruskan percutian mereka di selatan tanah air,” kata Pengarah Jualannya, Fazrizah Noor.

Gaya vila Mediterranean yang kuat di marina diadun dengan dekorasi Moorish moden di hotel menerbitkan aura percutian mewah, sebaik melangkah masuk ke ruang lobi. Dari sini, tetamu dihidangkan dengan pemandangan indah limbungan kapal dan banglo pesisir pantai.

Konsep ini diperkemas dengan hiasan mozek import dari Itali, chandelier gaya Marrakech dan sofa empuk bersaiz katil siang dengan taburan kusyen kecil. Di satu sudut, kolam pancuran air menyuntik angin tenang kepada wajah keseluruhan hotel.

“Dari tingkap bilik, tetamu dapat melihat panorama indah pelayar dengan kapal layar kecil yang berlatih berhampiran kawasan pantai. Selain itu, pemandangan kapal dagang yang melintasi Selat Melaka adalah pemandangan biasa di sini,” katanya.

Menurutnya, kawasan bot berlabuh ditutup untuk umum bagi menjaga privasi pelayar. Bagaimanapun, tetamu hotel boleh menyertai aktiviti memberi makan ikan di kawasan marina dengan pengawasan daripada kakitangan AAC.

Kawasan tanah lapang yang luas berdekatan hotel pula memberikannya kelebihan untuk menganjurkan pesta dalam skala besar. Terbaru, festival muzik antarabangsa selama dua hari menghimpunkan peminat pelbagai genre di rantau ini.

“Deejay ini sudah mempunyai kelompok peminat tersendiri sehinggakan ada yang sanggup datang dari negara jiran termasuk Thailand, Singapura dan Australia semata-mata untuk menyaksikan deejay kesayangan mereka beraksi.

“Secara tidak langsung, ia membantu mempromosikan Port Dickson sebagai antara destinasi percutian antarabangsa tidak jauh dari ibu kota. Tambahan pula, ia hanya terletak kira-kira 45 minit perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur,” katanya.



>INFO

>Bangunan hotel enam tingkat yang menempatkan 156 bilik ini dikelilingi suasana limbungan kapal, pesisir pantai serta lautan. Menawarkan 36 bilik straits studio, 60 bilik deluxe dan 60 bilik superior, dengan hiasan moden dengan sedikit sentuhan mood pelayaran.

>Pemandangan matahari terbenam paling cantik disaksikan dari bilik straits studio yang menghadap laut. Unit ini turut dilengkapi dengan sofa yang boleh berfungsi sebagai katil siang dan kabinet kecil dilengkapi sinki sesuai untuk tetamu yang tinggal untuk tempoh lebih lama.

>Untuk tempoh terhad, bilik deluxe ditawarkan pada harga serendah RM185 termasuk sarapan untuk dua orang.



KEMUDAHAN PERSIDANGAN

>Bagi mereka yang berhasrat mengadakan seminar atau majlis, dua dewan besar di kelab marina iaitu Comprador yang boleh memuatkan sehingga 300 tetamu dan Commodore yang boleh menempatkan sehingga 250 tetamu.



TEMPAT MAKAN

>Traders Food Shop, dengan kapasiti 150 orang menawarkan menu tempatan dan antarabangsa dibuka antara jam 7 pagi hingga 11 malam. Menawarkan suasana santai dengan beranda berdepan dengan pemandangan marina.

>Pub berkonsepkan terbuka, Sailors Drink Shop pula sesuai untuk sembang petang sambil menikmati minuman dan makanan ringan. Dibuka antara jam 11 pagi hingga 12 tengah malam.



AKTIVITI

>Pengunjung boleh mencuba paintball dan permainan yang baru diperkenalkan di Malaysia iaitu aquasoccer di tanah lapang berdekatan pantai. Sukan air termasuk bot banana, jet ski dan luncur angin boleh dilakukan di pantai berdekatan.

>Latihan bina semangat untuk sektor korporat boleh diadakan di perkarangan hotel. Pencinta alam pula boleh menyertai kembara sungai di Sungai Timun untuk melihat buaya di habitat semula jadi mereka.



LOKASI

Admiral Cove

Batu 51/2, Jalan Pantai

71050 Si Rusa

Port Dickson

Negeri Sembilan

Tel: 06-6470888

Faks: 06-6470889

Emel: reservation@admiralcove.com.my

Laman web: www.avillion.com

No comments: