Sunday, September 21, 2008

Tenang di tengah pulau

SUASANA nyaman dan penuh dengan ketenangan yang tercipta Pangkor Island Beach Resort (PIBS), Pulau Pangkor, memang mengagumkan sesiapa saja yang berkunjung ke sini.

Ia memiliki keunikan serta keindahan semula jadi yang menakjubkan dan amat sesuai bagi mereka yang cintakan suasana damai alam sekitar.


Justeru, kunjungan penulis bersama rombongan media sempena promosi Fly & Stay anjuran Berjaya Air dan PIBS, baru-baru ini, menterjemah maksud sebenar ketenangan yang resort peranginan ini sediakan.

Percutian di sini pasti berbaloi kerana sebaik saja tiba, pengunjung akan disambut dengan layanan mesra kakitangan resort serta koktel Fruit Punch dan sapu tangan dingin sebagai simbolik kata-kata aluan daripada pengurusan.

Keindahan pesisiran pantai memutih dengan laut membiru serta bayu yang bertiup lembut pasti akan memukau pandangan sesiapa jua terutama bagi yang pertama kali menjejakkan kaki di resort ini.

Pusat peranginan ini memiliki pantai persendirian sepanjang satu perpuluhan dua kilometer untuk memberi lebih keselesaan kepada tetamunya bersantai sambil menikmati angin laut.

Sebagai pantai milik persendirian, resort itu sememangnya menjadi hak eksklusif tetamu dan tidak boleh dimasuki `orang luar'.

Resort ini mempunyai sebanyak 258 buah bilik penginapan termasuk lima suite, satu bungalow, lapan vila dan empat villa mengadap laut.

Untuk bilik penginapan biasa, pengunjung boleh memilih sama ada mengadap laut ataupun menghirup udara segar di bilik yang berhadapan dengan taman serta mempunyai balkoni persendirian.

Setiap bilik dilengkapi dengan kemudahan membuat kopi serta teh, air panas, televisyen satelit, peti sejuk, telefon dail terus antarabangsa dan banyak lagi.

Jika tidak ingin keluar daripada bilik, pengunjung juga boleh meminjam DVD filem terkini ataupun menghabiskan masa dengan permainan Play Station.

Ia amat sesuai sebagai destinasi percutian menghilangkan tekanan dan melarikan diri daripada kesibukan kota.

Biarpun jenis apa juga bilik yang anda duduki namun keistimewaan rekaan serta hiasan dalaman yang bertaraf kelas pertama mampu membuatkan pengunjung tersenyum riang, bertepatan dengan slogannya, "It's Closer Than You Think".

Keindahan persekitaran, rekaan dalam bilik yang menarik serta layanan yang memuaskan turut menjadikan pusat peranginan ini dipilih sebagai antara yang terbaik di Pantai Barat Semenanjung Malaysia.

Resort ini juga sering menjadi tumpuan persinggahan burung enggang yang turun mencari makanan setiap petang.

Oleh kerana populasinya yang banyak, resort berkenaan turut mengabdikan burung berkenaan sebagai satu simbol kemegahannya.

Selain itu, pusat peranginan ini bukan saja menawarkan ketenangan maksimum kepada pengunjung malah turut menyediakan pelbagai kemudahan untuk tetamunya.

Lokasi resort yang unik ini membolehkan tetamu membuat pilihan sama ada bersantai di pantai sambil menikmati kesegaran angin laut atau melakukan pelbagai aktiviti seperti bola sepak pantai, snorkling, memancing pada waktu malam, memanah, boling kelapa, jungle trekking, nature walk, limbo rock, bola tampar pantai dan banyak lagi.

Tidak ketinggalan aktiviti untuk si kecil seperti ruang bercerita, melukis seramik, mewarna, permainan, tayangan kartun, melukis baju-T serta kraftangan pasir bagi mengisi masa terluang.

Dan, jika perut terasa lapar, pengunjung boleh mencuba pelbagai masakan cita rasa Asean, Malaysia serta Barat yang lengkap dengan hidangan koktel tropika, disajikan di Restoran Hornbill, Pacific Terrace, Kingfisher Pool Bar dan bila malam menjelma, jangan lepaskan peluang bersantai sambil berhibur di Golden Oriiole Lounge & Bar.

Pengurus Besarnya, Jimmy Yeo, berkata pihaknya turut membawa pengunjung memilih sendiri makanan laut diingini di jeti Pulau Pangkor.

Kata Yeo, selain dapat memberi gambaran sebenar kehidupan nelayan di pulau berkenaan, pengunjung juga boleh memilih sendiri makanan laut segar yang diingini.

Dalam pada itu, tidak lengkap percutian anda jika tidak mencuba spa menarik di Spa Aryani.

Spa yang dibina seakan rumah kampung ini terletak menghadap pantai indah dan bersih berlatarkan pemandangan menghijau pulau serta gandingan persekitaran alam semula jadi, menjadikan ia tempat sesuai untuk beristirahat.

Ia bukan sekadar spa biasa yang menawarkan urutan tradisional Melayu tetapi mampu memberi pengalaman baru kepada pelanggan terhadap seni spa itu sendiri dengan kepelbagaian

rawatan disediakan.

Selain urutan asli kampung, spa yang mula beroperasi di resort itu sejak tujuh tahun lalu, menyediakan rawatan aromaterapi, Thai, Bali, urutan tradisional Ayurvedic, rawatan muka, mandi lulur, dandanan rambut, rawatan kuku dan rawatan bagi ibu lepas pantang.

Tiga hari dua malam berada di resort ini bagaikan tidak puas rasanya. Nyata tempoh singkat itu tidak cukup menyelongkar jiwa dan nadi pusat percutian eksklusif itu termasuk alam semula jadi melingkarinya.

Daripada keindahan panorama sekitar pulau hingga pesona susun atur di bilik penginapan, Pangkor Island Beach Resort memiliki kelebihan tersendiri yang mungkin sukar diperoleh di mana-mana resort percutian setaraf dengannya.

Sebarang pertanyaan hubungi Pejabat Jualan dan Pemasaran, Tingkat 7, Menara IGB, Mid Valley City, Lingkaran Syed Putra, Kuala Lumpur, Malaysia di talian 603 2287 6868, emel ke sales@pangkorislandbeach.com atau layari www.pangkorislandbeach.com



>INFO

Bagaimana ke sana?

# Guna lebuhraya Utara Selatan menghala ke Perak. Susur keluar di Plaza Bidor dan ikut papan tanda Pelabuhan Lumut atau TLDM Lumut terus ke Teluk Intan, Sitiwan dan Pulau Pangkor.

# Jika menaiki feri dari Lumut hanya mengambil masa 40 minit. Perjalanan feri setiap setengah jam.

# Penerbangan lima kali seminggu (Isnin, Rabu, Jumaat, Sabtu dan Ahad) oleh Berjaya Air dari Lapangan Terbang Subang ke Pulau Pangkor. Maklumat lanjut hubungi, 0378458382 atau sambungan 8378

Source: Fairul Asmaini Mohd Pilus (hmetro.com.my)

No comments: