Sunday, September 21, 2008

Bermain dengan kelah

TAMAN Negara Pahang memang terkenal dengan keindahan dan kehijauan hutan yang masih gah terpelihara walaupun usianya dipercayai mencecah 130 juta tahun.

Taman, yang berkeluasan 4,343 km persegi dan dikawalselia Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), menyimpan pelbagai khazanah flora dan fauna yang tidak ternilai harganya yang perlu dipulihara sebaik mungkin.


Dengan dikelilingi hutan hujan tropika, Taman Negara menawarkan pakej percutian menarik kepada sesiapa saja yang mengidamkan kedamaian dan ketenangan.

Keterujaan menyelusuri Sungai Tahan pasti akan terasa sebaik menjejak kaki ke Jeti Kuala Tahan melalui perjalanan dari Kuala Lumpur atau Kuantan ke Taman Negara yang mengambil masa kira-kira tiga jam perjalanan.

Pelbagai tempat menarik terdapat di sini yang boleh dilawati seperti Jambatan Gantung, Lata Berkoh, Bukit Teresek, Safari Night, Gua Telinga, Lubok Simpon, Nusa Camp dan Perkampungan Orang Asli.

Perjalanan ke Taman Negara dari pekan Jerantut boleh dilalui menerusi dua cara, jalan air (menaiki bot) atau jalan darat.

Satu lagi produk baru menanti pengunjung Taman Negara ialah Santuari Kelah Lubuk Tenor, Taman Negara.

Bukan sekadar pusat kajian dan pemuliharaan ikan kelah, santuari itu turut menyediakan pelbagai aktiviti menarik kepada pengunjung.

Untuk sampai ke Lubuk Tenor pengunjung dari jeti Kuala Tahan perlu menyelusuri sungai dan liku jeram dengan menggunakan bot yang mengambil masa 15 minit saja.

Dengan belanja RM120 untuk sebuah bot bagi empat penumpang (RM30 seorang) sesiapa saja boleh sampai ke Lubuk Tenor.

Antara aktiviti disediakan di santuari itu ialah memberi makan ikan kelah malah boleh berenang dan bermain bersama ikan kelah.

Di santuari itu semua boleh dilakukan bersama ikan kelah tetapi yang pasti pengunjung pasti terpegun melihat kelincahan kelah menyambar palet (makanan ikan) yang dilontarkan ke sungai.

Ikan Kelah digelar Ikan Raja atau Raja Sungai. Isinya yang enak sehingga sisik kelah boleh digoreng dan dimakan seperti keropok menyebabkan harga bagi sekilogram kelah boleh mencapai ribuan ringgit.

Santuari Kelah Lubuk Tenor Taman Negara ditubuhkan dengan usahasama USAINS Holdings (USM) dan Jabatan Perhilitan pada tahun 2001 sebelum diambil alih Golden Mahseer Sdn Bhd (GMSB) pada awal tahun ini.

Pengarah Urusannya, Roslan Abu Kasim, berkata tugas pemuliharaan kelah diserahkan kepada penduduk tempatan termasuk penduduk orang Asli dari suku kaum Batek.

“Sebanyak 90 peratus daripada kira-kira 2,000 penduduk Kampung Kuala Tahan terbabit dalam industri pelancongan Taman Negara,” katanya.

Selain boleh dikunjungi pada setiap hari dari pukul 8 pagi hingga 5 petang, pengunjung boleh memilih untuk menginap di santuari itu menerusi aktiviti perkhemahan disediakan.

Beliau berkata, 30 khemah disediakan di bawah pakej penginapan tiga hari dua malam untuk empat orang dengan harga sekitar RM350 termasuk tambang bot dan makan minum.

Menerusi pakej tersebut mereka akan melalui pelbagai aktiviti disediakan termasuk meredah hutan ke Bukit Kementor, berkayak, memancing, mencari anak ikan dan mandi di Lata Berkoh.

Di bawah Program Kelah Angkat, pengunjung dikenakan bayaran RM20 untuk melepaskan kelah ke sungai sebagai ikan angkat dan diberikan sijil penghargaan.

Selain itu, katanya, santuari ikan Lubuk Tenor juga menyediakan tempat bagi penganjuran program tertentu seperti seminar dan bengkel dihadkan kepada sekitar 30 peserta.

Ia bertujuan memberi keselesaan kepada peserta selain memastikan khazanah alam di sekitarnya terus terpelihara dengan baik.

“Kita menyediakan tapak perkhemahan yang boleh menampung 30 orang,” katanya.

Mereka yang berminat berkunjung ke Santuari Ikan Kelah Lubuk Tenor boleh menghubungi talian 09-2663070 untuk maklumat lanjut. - Bernama

Source: Tuan Sharifah Shahaini Tuan Dagang (hmetro.com.my)

No comments: