Pantai Batu Buruk gamit pelancong
Teks dan gambar D J Dolasoh
srul@hmetro.com
PANTAI Batu Burok, Kuala Terengganu yang pernah sinonim dengan acara tahunan ‘Pesta Main Pantai’ suatu ketika dulu, kini tetap hidup dengan kunjungan ribuan pengunjung saban minggu.
Terletak kira-kira tiga kilometer (km) dari pusat bandar Kuala Terengganu, Pantai Batu Burok pernah dijadikan pusat kebudayaan dan permainan tradisional rakyat negeri pantai timur itu.
Berdasarkan pengalaman sendiri yang pernah menetap kira-kira 10 tahun di Kampung Batu Burok satu ketika dulu, penulis bersama rakan tidak pernah jemu menyusuri tepian pantai setiap petang sambil melihat penduduk kampung menangkap ketam.
Ada yang mengatakan, nama Batu Burok berasal dari batu besar yang menjelma dalam air laut kira-kira 30 meter dari kawasan pantai.
Dari jauh, batu ini kelihatan seperti sudah buruk, tetapi ia masih kukuh sehingga sekarang.
Pendapat nakal pula mengatakan persisiran pantainya yang panjang dan memutih ada kala kelihatan seperti betis gadis yang putih melepak.
Deretan pepohon ru rendang di tebingnya pula menjadi kanopi semula jadi sebagai tempat pengunjung berteduh daripada cahaya terik matahari.
Tidak hairanlah, pantai ini mendapat tempat di kalangan warga tempatan dan pelancong luar.
Meskipun Pantai Batu Burok tidak sesuai untuk mandi-manda terutama selepas musim tengkujuh, pengunjung termasuk kanak-kanak boleh membina istana pasir di tepian pantai. Ada memanfaatkan pantai berpasir untuk rawatan penyakit kulit atau lumpuh.
Pelbagai kemudahan disediakan di kawasan pantai ini antaranya bangku rehat, tempat pejalan kaki dan trek joging, taman permainan kanak-kanak, tempat rekreasi berbasikal selain kawasan parkir kereta secara percuma.
Tidak perlu pergi jauh untuk menjamu selera, banyak tempat makan menjual makanan tradisional Terengganu jika anda rajin meninjau kawasan kedai di sepanjang kawasan pantai.
Untuk si kecil, layang-layang pelbagai warna dan corak pula disediakan untuk dimainkan pada waktu petang.
Jika minat memancing, anda boleh mencuba bakat, mungkin habuannya lumayan.
Menariknya, pengunjung boleh menunggang kuda padi dengan kadar bayaran berbeza bagi kanak-kanak dan dewasa iaitu masing-masing RM3 dan RM5 bagi sekali pusingan di kawasan pantai berkenaan.
Gegaru
9 years ago
No comments:
Post a Comment