Sunday, September 21, 2008

Layanan VIP, harga berpatutan
Oleh Manan Samad
manansamad@hmetro.com.my



MAHUKAN penginapan dan kemudahan bertaraf VIP dengan bajet terhad, Hotel M Suites di Jalan Skudai, Straits View, Johor Bahru pilihan terbaik untuk semua peringkat pelanggan bagi mendapatkan nilai tambah terhadap wang yang dibelanjakan.

Ini kerana, bersesuaian dengan namanya yang merujuk kepada bilik mewah, konsep itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh pengurusan hotel berkenaan untuk memberi kepuasan layanan VIP terhadap setiap pelanggannya pada harga berpatutan yang mampu dibayar golongan kebanyakan.


Lazimnya, sebahagian besar pelanggan yang berkemampuan agak cerewat memilih hotel, terutama aspek keluasan ruang bilik bagi keselesaan diri dan keluarga.

Menyedari hakikat itu, M Suites menawarkan ruang bilik yang boleh dikatakan paling besar berbanding hotel setaraf lain di Johor Bahru, terutama bagi kelas paling rendah.

Sebagai contoh, bilik studio atau superior berharga RM205 cukup luas dengan keluasan 156.65 meter persegi sekali gus menjanjikan keselesaan untuk pelanggan berehat, bercuti atau terbabit dalam mesyuarat, majlis penting syarikat atau agensi kerajaan.

Kerana kelebihan itulah, hotel yang mempunyai panorama indah menghadap Selat Tebrau dengan angin sepoi-sepoi bahasa yang mendamaikan, M Suites saban minggu sentiasa dipenuhi pelanggan terutama membabitkan tempahan agensi kerajaan, selain syarikat swasta.

Biarpun boleh bermegah sebagai salah satu hotel tumpuan di Johor Bahru, pengurusan M Suites sentiasa mencari jalan untuk memuaskan hati setiap pelanggannya, termasuk golongan orang kurang upaya (OKU).

Atas kesedaran itu, sejak tahun lalu hotel itu menyediakan kira-kira 70 daripada keseluruhan 128 biliknya yang bersifat mesra OKU, terutama pemasangan tiang pemegang bagi memudahkan pelanggan istimewa itu bergerak di dalam bilik dan tandas.

M Suites juga sentiasa bersifat inovatif dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan. Terbaru, hotel itu menawarkan pakej Escapade sejak Mac lalu dan berakhir Disember ini yang cukup sesuai untuk pasangan berbulan madu atau memadu kasih bersama suami isteri tanpa gangguan anak-anak.

Semurah RM470 untuk penginapan dua hari satu malam, setiap pasangan diberikan pelbagai kemudahan percuma yang mungkin sukar diperoleh di hotel lain pada harga semurah itu, antara lain makan pagi, makan malam ala barat, urut tradisional Bali, sebotol Sparkling juice, sebakul buah dan coklat, surat khabar percuma, selain kemudahan penggunaan kolam renang menghadap Selat Tebrau dan gimnasium.

Pendek kata, pasangan yang ingin memadu kasih pasti mendapat kepuasan berganda dengan hanya menginap di hotel itu tanpa perlu membuang masa ke tempat lain.

Malah, jika pelanggan ingin melancong ke Singapura seperti membeli-belah di Orchard Road atau bercuti di Pulau Sentosa, penginapan di M Suites mampu menjimatkan bajet tanpa perlu membayar harga mahal untuk menginap di hotel negara jiran.

Ini kerana, jarak hotel itu ke Tambak Johor hanya membabitkan kira-kira lima minit perjalanan dan lebih memudahkan jalannya lurus tanpa ada kemungkinan tersesat jalan.

Di sebalik reputasi gahnya di mata pelanggan, pengurusan M Suites tidak mudah puas hati dan sentiasa mahu memastikan perkhidmatan dan kemudahannya berada dekat di hati pelanggan.

Justeru, M Suites kini sedang melalui proses pengubahsuaian dan penambahbaikan semua 128 biliknya secara berperingkat membabitkan ubah suai perabot, langsir, katil, tandas dan kekemasan bilik secara menyeluruh.

Apapun, keistimewaan hotel itu tidak hanya terletak pada biliknya, malah M Suites mempunyai pelbagai tarikan lain.

Bersesuaian dengan keharmonian masyarakat majmuk di negara ini, hotel itu turut menawarkan pakej perkahwinan Melayu, Cina dan India dengan pelbagai menu makanan menarik.

Sebagai contoh, bagi perkahwinan Melayu, M Suites menawarkan tiga menu makanan iaitu Bagai Pinang Dibelah Dua, Bagai Cincin Dengan Permata dan Bagai Ratu & Raja Sehari dengan harga semeja untuk 10 orang antara RM450 hingga RM650.

Lebih menarik, pasangan pengantin akan dihadiahkan penginapan satu malam di Suite Pengantin, makan pagi di bilik itu atau di Myra Bistro, sebakul buah di bilik itu, kek perkahwinan lima tingkat, meja pengantin dihias cantik dengan bunga-bungaan, gubahan gerbang bunga melengkung di pintu utama hotel, permaidani merah, gubahan kotak berisi coklat untuk tetamu jemputan.

Selain itu, pihak keluarga pengantin juga boleh mencuba menu terpilih untuk enam orang semeja selepas menjelaskan 50 peratus deposit bayaran, penggunaan PA sistem, mikrofon dan LCD, kemudahan surau dan diskaun bilik untuk tetamu jemputan.

M Suites juga terkenal dengan keenakan menu makanan di dua restorannya iaitu Myra Bistro dan Ming Court, masing-masing menawarkan masakan tradisional dan barat, serta masakan ala Cina yang dijamin halal bagi pelanggan beragama Islam.

Ketika ini, hotel itu menawarkan pakej hi-tea RM28++ untuk dewasa dan RM14++ untuk kanak-kanak pada setiap Sabtu.

Menariknya, pakej itu sentiasa berubah-ubah setiap minggu dengan menunya sentiasa mempunyai kelainan seperti menu tradisional ubi rebus cecah sambal ikan bilis, mi siam berkuah, nasi beriani, nasi goreng, pelbagai masakan barat dan sebagainya dari jam 12 tengah hari hingga 5 petang.

Keindahan seni bina M Suites juga tidak boleh dipertikaikan kerana ia menggabungkan elemen binaan tradisional dan kontemporari moden.

Struktur kayu seperti mana terdapat pada rumah lama Melayu masih dikekalkan tetapi pada masa sama sentuhan moden tidak diabaikan sekali gus menjadikan seni binanya sejuk mata memandang.

Tidak lengkap jika menginap di hotel itu tanpa mencuba kolam renangnya. Ini kerana, selain mempunyai ruang untuk dewasa dan kanak-kanak, keindahan pemandangan kolam renang itu yang menghadap laut sukar ditukar ganti.

Kelebihan sama juga boleh pelanggan nikmati jika mencuba urutan kaki di Serenity Spa yang pernah mendapat pengiktirafan sebagai spa terbaik di hotel negara ini.

Bayangkan betapa tenangnya jika tukang urut bertauliah mengurut kaki anda untuk meredakan keletihan sambil menghadap air biru Selat Tebrau ke arah Singapura, atau mencuba pelbagai jenis urutan badan pada harga berpatutan.

Namun, M Suites bukan hanya untuk tujuan bersantai atau bercuti bersama keluarga, malah ia cukup terkenal sebagai lokasi sesuai mengadakan pelbagai majlis seperti pelancaran produk, penggambaran rancangan televisyen, drama atau filem, atau mengadakan mesyuarat kerajaan atau korporat.

Ini kerana, ia mempunyai tiga dewan besar dengan kelengkapan audio visual termasuk yang terbesar boleh memuatkan kira-kira 350 orang, selain tujuh bilik mesyuarat.

Pendek kata, M Suites adalah ‘syurga’ dunia bagi semua pihak dengan pelanggan mampu memperoleh layanan VIP secara keseluruhan pada harga berpatutan.



FAKTA

LOKASI

M Suites terletak menghadap Selat Tebrau ke arah Singapura. Perjalanan ke hotel itu hanya mengambil masa lima minit dari Tambak Johor dan kira-kira 30 minit dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Ismail, Senai atau dari Plaza Tol Skudai.

PENGINAPAN

Mempunyai 128 bilik dan suite empat kategori dengan keluasan dari 156.65 meter persegi hingga 340.68 meter persegi, pada harga permulaan semurah RM205.

KEMUDAHAN DALAM BILIK

Kemudahan membancuh teh dan kopi, pengering rambut, peti sejuk dan televisyen satelit.

KEMUDAHAN DAN PERKHIDMATAN

Kolam renang, gimnasium, sauna dan jakuzi, spa, perkhidmatan bilik ke bilik, pusat kemudahan pelanggan, tempat letak kenderaan percuma, bilik karaoke, restoran, dewan besar dan bilik mesyuarat, perkhidmatan dobi, peti simpanan, katil tambahan dan katil bayi, surau, sejadah dan kerusi roda (bergantung kepada permintaan).

RESTORAN

Myra Bistro dan Ming Court.

ALAMAT

No 16, Jalan Skudai, Straits View, 80200, Johor Bahru, Johor. Tel: 07-221 1000, Faks: 07-226 0380, E-mel: m-suites@tm.net.my, laman web: www.m-suites.com.

PEMILIK

Mudra Resources Sdn Bhd.

No comments: