Sunday, September 21, 2008

Anaconda ada di Ulu Bendol!
Teks dan gambar Mohd Amin Jalil
rencana@hmetro.com.my



HUTAN Rekreasi Ulu Bendol, Kuala Pilah, Negeri Sembilan yang sebelum ini agak suram kini berubah wajah dan menjadi antara lokasi tumpuan utama pelancong.

Ini selepas kerajaan negeri menaik taraf kawasan itu termasuk mewujudkan Taman Ular Sawa dan aktiviti pendakian Gunung Angsi.


Kedudukannya yang jauh daripada hiruk-pikuk kota menjadikan Ulu Bendol tumpuan pengunjung terutama pada hujung minggu dan cuti umum.

Mereka yang datang tidak akan melepaskan peluang menikmati kedinginan air terjun dan taman tema air mini bertingkat.

Ulu Bendol turut menjadi tumpuan pelajar sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi serta pertubuhan beruniform mengikuti perkhemahan dan pendakian Gunung Angsi pada musim cuti.

Kawasan ini turut menjadi lokasi utama perkhemahan kadet sekolah peringkat negeri dan kebangsaan setiap tahun.

Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Hassan Malek, berkata Ulu Bendol berpotensi menjadi destinasi pelancongan popular di negeri ini dengan pembinaan hotel bertaraf tiga bintang dan kolam air panas kelak.

“Hutan lipur ini lokasi paling sesuai untuk rekreasi dan riadah sambil menikmati keindahan alam semula jadi,” katanya.

Menurutnya, tarikan terbaru di kawasan itu adalah Taman Ular yang baru diwujudkan pada Mac lalu.

Ia menghimpunkan pelbagai spesies ular sawa termasuk jenis Anaconda yang didatangkan khas dari seluruh dunia dan kini menarik perhatian kira-kira 100,000 pengunjung.

“Setakat ini saya difahamkan Ulu Bendol menarik kunjungan kira-kira 300,000 pelancong setiap tahun,” katanya.



>Info

Cara ke Hutan Rekreasi Ulu Bendol:

# Antara 20 hingga 30 minit perjalanan berkereta melalui Jalan Seremban-Kuala Pilah.

# Pengguna lebuh raya keluar di Tol Senawang dan menghala ke Kuala Pilah.

No comments: