Sunday, September 21, 2008

Promosi selera Timur Tengah
Oleh Syah Rul Aswari Abdullah
srul@hmetro.com.my



MUSIM kedatangan pelancong Arab yang ingin lari dari cuaca panas di negara asal ketika ini, seakan membawa aliran terbaru dalam bidang hospitaliti tempatan. Ini dapat dilihat dengan pembukaan pelbagai restoran dan kafe menawarkan selera Timur Tengah, lengkap alunan muzik padang pasir dan “lounge” shisha.

Hotel Nikko di Jalan Ampang umpamanya tidak mahu ketinggalan meraikan musim kebanjiran pelancong Arab ini. Sehingga 2 Ogos depan, Cafe Serena Brasserie, mengadakan promosi hidangan Timur Tengah menjanjikan pengalaman baru kepada setiap pengunjung.


Dua chef berpengalaman dari Resort & Spa Nikko Jal Fujairah, Dubai iaitu Chef Ali Hadla dan Chef Ali Mohsen Nazha diterbangkan khas untuk menyajikan hidangan terbaik dari rantau itu. Bagi promosi ini, selera Lubnan, Jordan, Arab Saudi, Syria dan Mesir.

Antara menu popular bakal mencuri tumpuan termasuk sosej daging kambing bersama jus lemon, kepak ayam bawang putih, kofta daging kambing bersama kentang, kambing panggang bersama rempah ratus Arab, ayam panggang bersama sos bawang putih serta nasi bersusu.

Turut menanti pengunjung aneka sayur-sayuran dan pencuci mulut tradisi Arab.

Chef Ali Mohsen Nazha, warganegara Lubnan ini memulakan kerjayanya sebagai pemotong daging di Casino Mohanne Zahle dan Restoran Antelias di negaranya. Pada tahun 2002, dia menyertai Emirates Tower Hotel Jumeirah di Dubai.

Pelancaran penuh bergaya promosi ini disempurnakan Charge D' Affaires, Kedutaan Emiriah Arab Bersatu Jassim Mohd Y Al-Ali. Hadir sama, Pengurus Residen Hotel Nikko, Ron Brooks.

Acara dimeriahkan lagi dengan persembahan tarian gelek penari profesional yang diterbangkan khas dari Maghribi, Elmira Efendieva.

Selain dihidangkan dengan menu Timur Tengah, tetamu juga diajak bersantai sambil menikmati hidangan pencuci mulut atau sekadar menghisap shisha.

Promosi Hidangan Timur Tengah di Cafe Serena Brasserie ini boleh dinikmati pada harga dari RM69 dan RM90, masing-masing untuk bufet makan tengah hari dan malam. Untuk tempahan, sila hubungi 03-27826228.

No comments: