Sunday, September 21, 2008

Keunikan 17 hentian
Oleh Rosmaliana Aida Mohd Adnan
rosmaliana@hmetro.com



SELAIN faktor keramahan peniaga, pelbagai tarikan menarik serta kemudahan disediakan untuk keselesaan pengguna di setiap hentian yang sudah dinaik taraf sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan.

Pengguna lebuh raya tidak akan pulang dengan tangan kosong setiap kali melalui kawasan rehat dan rawat (R&R) berkenaan.


Ketua Jabatan Bahagian Kemudahan Komersial Plus Expressway Bhd (Plus), Muhammad Khatib Khalid, berkata ada kira-kira 17 hentian rawat dan rehat yang dibina sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan untuk kemudahan pengguna.

“Setiap hentian mempunyai keunikan tersendiri serta kemudahan awam lengkap dan diyakini mampu memberi keselesaan kepada pengguna,” katanya ketika lawatan media bersama Plus ke Perak, baru-baru ini.

Peniaga yang berniaga di setiap R&R ialah penduduk setempat yang tinggal dalam lingkungan 30 kilometer dari setiap hentian.

“Plus memberi peluang kepada mereka menambah pendapatan dengan berniaga di situ kerana kebanyakannya sering menjalankan jualan di tepi lebuh raya akibat ketiadaan tempat yang sesuai untuk berniaga,” katanya.

Plus turut menyediakan kemudahan WiFi secara percuma di setiap hentian terpilih antaranya Hentian Tapah untuk kemudahan pengguna melayari Internet.

Setiap hentian menonjolkan keistimewaan kawasan setempat yang tidak ada di kawasan lain. Justeru, mereka yang menggemari masakan ala kampung seperti ikan patin masak tempoyak, Hentian Rehat Sungai Perak (arah utara) tempat paling sesuai dikunjungi seisi keluarga.

Hentian itu ialah satu-satunya kawasan rawat dan rehat yang mempunyai tangga bergerak untuk kemudahan pengguna ke gerai makan serta surau.

Malah, ada menara peninjau yang disediakan khusus untuk pengunjung yang ingin melihat Sungai Perak kerana ia kurang 500 meter dari hentian berkenaan.

Bagaimanapun, menurut kenyataan Plus, menara tinjau terbabit masih berada dalam penyelenggaraan dan belum dibuka kepada orang ramai.

Konsep Perkampungan Buah-Buahan Tropika yang menyediakan pelbagai buah-buahan tempatan menjadikan Hentian Sebelah Bukit Gantang (arah utara) sebagai destinasi wajib disinggahi pengguna Lebuhraya Utara-Selatan.

Antara buah-buahan tropika sukar didapati ialah salak, tampoi, rambai, sentul, nona dan setar manakala durian mempunyai permintaan paling tinggi.

Selain durian kahwin, pengunjung boleh merasai beberapa jenis durian kampung seperti durian raja kunyit, katak, tupai mas, kucing tidur, capri, sarang semut, susu, tembaga dan belimbing.

Peniaga, Indom Musa, 50, atau lebih dikenali sebagai Mak Long di kalangan pengunjung dan masyarakat setempat, berkata setiap durian mempunyai nama dan rasa berbeza.

Ada durian yang mempunyai beberapa rasa berbeza dalam buah yang sama meskipun ia jarang berlaku.

“Inilah antara keunikan di Hentian Bukit Gantang yang tiada di tempat lain,” katanya yang berterima kasih kepada Plus kerana memberinya tempat untuk berniaga.

Bagi pengumpul dan peminat ikan kelisa pula, pastinya Hentian Sebelah Gunung Semanggol (arah selatan) ialah tempat paling sesuai dikunjungi.

Ada kedai pameran dan jualan ikan berkenaan yang menampilkan tiga spesis ikan kelisa yang diternak sendiri antaranya, Super red, Malaysian Golden dan High Back.

Menurut pengusaha kedai pameran terbabit, Law Chieng Kiat, 57, ikan kelisa ialah antara spesis terancam di dunia dan hanya ada beberapa negara saja yang sesuai untuk menternaknya termasuk Malaysia.

“Jenis paling mahal pernah dijual ialah daripada spesies Super Red bernilai RM28,000 untuk ikan sepanjang dua kaki. Mereka yang benar-benar menghayati kecantikan ikan terbabit pasti rambang mata jika berkunjung ke sini,” katanya.

Hentian Rehat Tapah (arah selatan) pula adalah kompleks terbesar di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan. Ia antara kompleks R&R paling lengkap dengan penyediaan segala kemudahan awam serta lebih daripada 10 francais makanan segera popular.

No comments: