Sunday, September 21, 2008

Suasana kedesaan masih tebal
Oleh Syah Rul Aswari Abdullah
srul@hmetro.com.my



PERNAH meraih pertandingan kampung tercantik peringkat kebangsaan pada 1999, Homestay Kampung Renok Baru di pedalaman Kelantan menjanjikan seribu satu pengalaman baru kepada orang luar terutama mereka yang pertama kali mengunjunginya.

Landskap semula jadi dikelilingi dusun di lereng bukit menerbitkan suasana permai desa, jauh daripada kesibukan gaya hidup kota. Semangat gotong-royong, antara nilai tradisi yang semakin terhakis hari ini masih menebal di kalangan penghuni perkampungan di Gua Musang ini.


Sempena Pesta 100 Nasi dan 100 Kuih di Kota Bharu, bulan lalu, wakil media turut dibawa melawat program homestay terletak 14 kilometer (km) dari Gua Musang ini, dalam usaha mempromosikan produk pelancongan di negeri pantai timur itu.

Pengarah Tourism Malaysia Kelantan, Muhammad Zaki Talib, kampung ini terpilih antara lokasi terawal program homestay di negeri itu berikutan semangat hidup berkampung yang masih kuat di kalangan penduduknya.

“Daripada pemerhatian, kebersihan menjadi aspek paling dititikberatkan di dalam dan luar rumah penduduk kampung. Jalan menghala ke rumah juga sentiasa dibersihkan daripada tumbuhan liar sebagai usaha mengindahkan persekitaran kampung,” katanya.

Semangat kerjasama antara penduduk kampung juga menjadi kunci kepada kejayaan program homestay ini. Gotong-royong untuk membersih dan mengindahkan jalan umpamanya, diadakan pada waktu malam, apabila kebanyakan warga kampung pulang ke rumah.

“Pada siang hari, penduduk sibuk menguruskan ladang kelapa sawit, kebun getah atau ke dusun buah-buahan. Walaupun penat selepas seharian suntuk bekerja, ia tidak menghalang mereka mengadakan gotong-royong pada waktu malam,” katanya.

Perpaduan yang erat antara penghuninya jelas terlihat apabila seluruh kampung turun pada acara kebudayaan yang diadakan sebelah malam. Rata-ratanya tidak mahu ketinggalan untuk sama-sama menghiburkan ahli keluarga baru mereka walaupun sekadar menjadi penonton.

Malam itu, wakil media dan pemandu pelancong yang datang dari seluruh negara dihiburkan dengan persembahan dikir barat yang menjadi warisan unik negeri pantai timur itu. Budaya Siam yang meresapi hidup warga tempatan juga dapat dilihat menerusi pertunjukan muay thai.

Sebelum malam berakhir, kami dipertontonkan dengan tarian sewang yang berlanjutan hampir sejam. Menurut mereka yang pernah menontonnya, tarian masyarakat Orang Asli ini boleh berlangsung beberapa jam bergantung kepada ketahanan penarinya.

Menjamu selera juga seakan satu pesta di kampung ini. Daripada ubi rebus dan kopi pekat yang menjadi jamuan larut malam sehingga nasi tumpang, nasi kerabu dan tapai pulut hitam, masakan tradisi masih menjadi menu utama apabila berkunjung ke homestay ini.

Minuman tenaga daripada tumbuhan herba seperti tongkat ali dan misai kucing pula dihidangkan hampir setiap masa. Menariknya, ia diproses terus daripada tumbuhan dari tapak tanaman herba yang ditanam secara bergotong-royong oleh penduduk kampung.

“Tunggu sajalah apabila musim buah-buahan. Peserta berpeluang mengait rambutan, langsat atau mengopek durian yang mereka ambil terus dari dusun. Kebanyakan penduduk juga berpakat menjual buah-buahan kerana tidak habis makan,” katanya.



>INFO

# Selain menikmati percutian kampung, peserta homestay boleh mengunjungi beberapa tarikan lain terletak tidak jauh dari Kampung Renok Baru. Antaranya termasuk berkelah di Jeram Pelangi dan memancing di beberapa kolam dalam kawasan kampung.

# Selain persembahan hiburan tradisional, peserta juga berpeluang bermain sepak takraw, batu seremban dan congkak. Malah, mereka juga akan diajar berdikir barat oleh penduduk kampung.

# Peserta boleh membeli produk kraf tangan termasuk bakul yang dibuat daripada surat khabar dan buluh pada harga berpatutan. Demonstrasi juga boleh diaturkan berdasarkan permintaan.

# Untuk maklumat lanjut mengenai pakej homestay ini, hubungi pejabat operasi Kesedar Renok Baru di talian 09-9126340 atau Fadly Hussin, 012-9098151 atau Tourism Kelantan, 09-7477554.

No comments: