Sunday, September 21, 2008

Lata Cakah tak kurang hebatnya
Teks dan gambar Aminudin Ismail
rencana@hmetro.com.my



HUTAN Lipur Sekayu di Kuala Berang dan Hutan Lipur Lata Tembakah di Besut sememangnya sudah popular sebagai destinasi perkelahan di Terengganu.

Namun, tidak ramai mengetahui Setiu juga memiliki tarikan pelancongan yang kian mendapat tempat iaitu Lata Cakah.


Terletak kira-kira 15 kilometer (km) dari Bandar Permaisuri, Lata Cakah dibuka kepada kunjungan orang ramai sejak 10 tahun lalu memiliki keindahan hutan semula jadinya yang masih terpelihara.

Walaupun tidak memiliki air terjun yang tinggi, tempat perkelahannya masih menawarkan keunikan dengan sungai dipenuhi batu kecil. Ada juga yang ke sana semata-mata untuk mengisi masa dengan aktiviti memancing.

Aliran air sungai yang tenang juga memberikan kolam semula jadi untuk kanak-kanak yang gemar bermain air. Gelagat si kecil juga dapat dilihat melakukan aksi terjun di tebing sungai setinggi lima meter, bagai mengimbau nostalgia zaman kanak-kanak di kampung.

Kawasan perkelahan ini juga sesuai untuk dijadikan tempat barbeku di samping aktiviti berkhemah yang kerap disertai pasukan beruniform dari sekolah di sekitar daerah itu. Selain berkhemah, aktiviti lain termasuk merentas denai dan menyusuri sungai.

Selepas penat mandi-manda, pengunjung boleh beristirahat untuk memanaskan badan di atas batu di hutan lipur itu. Bertambah asyik apabila mendengar deruan air dan kicauan burung yang menjadikan hutan lipur sebagai kediaman.

Bagi pengunjung yang gemar melakukan aktiviti lasak, mereka boleh melakukan aktiviti meredah denai untuk sampai ke kawasan air terjun yang terletak kira-kira lima kilometer dari kawasan perkelahan itu.

Sepanjang perjalanan, pengunjung pasti terpesona dengan tumbuhan hutan yang sukar didapati termasuk rumbia dan periuk kera apatah lagi apabila melihat aliran anak sungai yang masih suci daripada pencemaran.

No comments: