Sunday, September 21, 2008

Buaya sambar bangau

SUATU masa lalu, Sungai Linggi di Negeri Sembilan memainkan peranan penting sebagai laluan pedagang sebelum ke Melaka untuk menjalankan urus niaga rempah ratus.

Selain itu, ia juga menjadi punca rezeki penduduk tempatan kerana dipenuhi pelbagai khazanah sungai seperti ikan dan udang galah.


Kini, sungai itu masih menjadi sumber pendapatan nelayan termasuk orang luar yang gemar memancing udang galah.

“Bagi mereka yang suka memancing udang galah, Sungai Linggi memang sesuai dan hujung minggu kami memberi peluang kepada pengunjung untuk memancing udang,” kata Norizan Mohd Ali, 47, seorang nelayan di perkampungan Pengkalan Kempas di situ.

Norizan yang sudah sebati dengan suasana di Sungai Linggi berkata, mencari rezeki di sungai itu cukup bermakna ditambah lagi dengan pelbagai program pelancongan kepada pengunjung.

“Pada musim udang, pengunjung suka menyusuri sungai ini untuk melihat keindahan flora dan fauna dari petang hingga ke malam,” katanya.

Bagi mereka yang berminat menghabiskan cuti hujung minggu bersama rakan dan keluarga, PD Travel & Tours Sdn Bhd iaitu anak syarikat Kumpulan YBH sedia membantu.

Pengarah Urusan Kumpulan YBH, Yaacob Hussin, berkata sambutan pelancong amat menggalakkan.

Menurutnya, pengunjung berpeluang merasai pengalaman keindahan petang dan melihat ribuan burung bangau pulang ke dahan pokok bakau antara jam 6 petang hingga 7.30 malam dan terbang semula seawal pagi mencari rezeki.

Jika bernasib baik orang ramai boleh melihat ketangkasan buaya menyambar bangau yang hinggap di dahan paling rendah di pokok bakau.

Sungguhpun begitu jangan khuatir kerana buaya di sungai itu belum pernah mencederakan manusia walaupun terdapat ratusan reptilia berkenaan di situ.

Selain itu, habitat semula jadi buaya yang suka berjemur di beting pasir pada siang hari dapat dilihat pada masa air surut.

Jika cuaca baik, pengunjung berpeluang melihat kelip-kelip di dahan pokok berembang di sepanjang sungai berkenaan.

Walaupun jumlahnya tidak sebanyak di Kampung Kuantan, Kuala Selangor, ia sudah singgah di situ sejak dulu lagi menyebabkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menanam pokok berembang dapat meningkatkan kehadiran kelip-kelip di sungai ini.

INFO

Bagaimana ke sana

Dari Kuala Lumpur ke Port Dickson sejauh kira-kira 100 kilometer akan mengambil masa sejam dan dari Port Dickson ke Pengkalan Kempas sejauh 55 kilometer mengambil tempoh 45 minit dengan menaiki kereta.

Untuk pertanyaan dan tempahan boleh hubungi PD Travel & Tours Sdn Bhd di talian 06-6471965 dan nombor faks 06-6471963 atau boleh melawat website www.kumpulanybh.com atau email pdtraveltours@yahoo.com.my

Source: Nor Aziah Othman (hmetro.com.my)

No comments: