Sunday, September 21, 2008

Sesat di Phenom Penh
Surianie Mohd Hanif
rencana@hmetro.com.my



DEK terlalu teruja ingin membeli-belah, akhirnya penulis dan seorang rakan terpaksa makan angin percuma hampir sejam kerana sesat di pekan Phenom Penh, Kemboja.

Meskipun menakutkan, ia juga kenangan lucu kerana puas bertekak, pemandu teksi hanya buat muka selamba kerana tidak memahami pertuturan bahasa Inggeris.


Akhirnya kami selamat sampai di hostel penginapan di Cambodia Mekong University. Paling menyakitkan hati, kedudukannya tidak jauh daripada perhentian pertama kami berhenti untuk bertanya.

Rupa-rupanya masyarakat Phenom Penh tidak begitu arif nama sesebuah bangunan, tapi jikalau disebut nama jalan, mereka mudah memberi tunjuk arah.

Bagaimanapun, itulah pengalaman berharga penulis sewaktu mengikuti rombongan pengantarabangsaan Management and Science University (MSU) selama lima hari ke negara bekas komunis itu, baru- baru ini.

Apabila diberi tugasan, perkara pertama terlintas tentu tahap keselamatan negara itu. Pelbagai perasaan berbaur, apatah lagi, sebaik saja menjejakkan kaki di lapangan terbang antarabangsa Phenom Penh, suasana kemunduran jelas kelihatan di sini sana.

Jangan bermimpi ingin melihat bangunan pencakar langit atau kemudahan pengangkutan awam teratur, memang tiada. Paling banyak motosikal dan basikal.

Jalan rayanya memeningkan kepala dengan gelagat penunggang bersimpang siur, telinga pula bingit terpaksa mendengar bunyi hon manakala manakala pejalan kaki melintas sesuka hati.

“Inilah rutin masyarakat Kemboja, mereka tidak kisah jika kena hujan atau panas, yang penting perut kenyang dan ada duit. Kelibat anak kecil meminta sedekah pemandangan biasa di sini.

“Masyarakat kami baru saja bangkit daripada peperangan, meneruskan hidup memang sukar,” kata pemandu pelancong, Paul.

Bandar ini juga kotor kerana tiada siapa peduli. Aktiviti membuang sampah berleluasa selain habuk dan debu bertebaran hingga menyebabkan penulis terpaksa mencuci muka setiap kali keluar.

Bagaimanapun, Kemboja masih menyediakan tarikan kepada pelancong terutama kuil atau wat. Jangan lepaskan peluang berkunjung ke Wat Diraja ( Royale Wat) yang kaya pelbagai khazanah emas serta ukiran menarik.

Lapangkan juga masa berehat di taman berdekatan tugu kemerdekaan yang tersergam indah di tengah pusat bandar. Tugu lambang kebanggaan rakyat Kemboja ini dihiasi ukiran kepala ular tedung atau naga oleh rakyat tempatan.

Kemboja kaya pelbagai peninggalan sejarah, namun Phenom Penh lebih berfungsi sebagai pusat pentadbiran. Jika ingin membeli-belah, banyak peluang di sini.

Russian Market misalnya menyediakan harga murah serta boleh ditawar. Dan, ramai pelancong mencari kain sutera asli.

Peniaga tidak terlalu berkira soal harga. Barang dibeli lebih penting daripada harga!

“Dua dolar,” itulah harga yang selalu diteriak penjual bagi baju-T.

Meskipun lebih mengutamakan dolar berbanding mata wangnya, riyel, berbaloi berbelanja di sini.

Soal mencari makanan halal bukan satu masalah besar kerana ada pelbagai restoran makanan Islam.

Tiga hari di Phenom Penh sebelum meneruskan perjalanan ke Siem Reap satu pengalaman manis bagi penulis. Keinginan melihat penderitaan masyarakat Kemboja yang bangkit meneruskan kehidupan selepas perang sudah tercapai.

No comments: