Sunday, September 21, 2008

Tarikan reptilia ganas
Teks dan Gambar Yooga Rani Murugiah
yooga@hmetro.com.my



SARAWAK bukan hanya kaya dengan tempat menarik, malah mempunyai pelbagai seni budaya cukup unik untuk dipertontonkan kepada pelancong luar.

Sebagai antara lokasi yang pesat membangun di negeri ini, bandar raya Miri yang terletak di utara Sarawak dan dikenali dengan kuda laut sebagai maskotnya, tidak pernah putus daya tarikan untuk terus menjadi destinasi pelancongan utama.


Di samping menggamit pengunjung dengan keindahan taman negara dan khazanah sejarah yang tidak ternilai, satu tarikan utama di Miri adalah taman buaya terbesar yang terletak hanya 25 kilometer dari bandar raya itu.

Selepas Taman Buaya Jong di Kuching, Taman Buaya Miri boleh dikatakan taman pembiakan reptilia kedua terbesar di Sarawak yang diusahakan hasil inisiatif pihak swasta.

Menariknya, taman buaya ini bukan saja menempatkan lebih 2,000 buaya dari Sarawak dan Kalimantan tetapi ia turut didiami haiwan unik seperti ular sawa, memerang, beruang hitam, ikan kap pelbagai warna, kelawar, burung merak dan pelbagai lagi.

Menggunakan konsep zoo mini yang dilitupi pelbagai spesies pokok tropika, Taman Buaya Miri mengajak pengunjung menyelami kehidupan reptilia ganas dan haiwan jinak lain dalam santuari yang dibina seakan habitat semula jadi.

Apa yang istimewa, selain menempatkan spesies buaya sungai, paya dan laut dari tempatan, Indonesia, Asia dan Australia, ada buaya turut diserahkan penduduk kampung yang menemuinya di perairan atau sungai berhampiran kawasan penempatan.

Melihat telatah buaya ganas bersaing sesama sendiri dan ada yang sanggup mencederakan yang lebih kecil semata-mata untuk mendapatkan makanan, sememangnya memberi seribu kenangan kepada mereka yang berkunjung ke tempat ini.

Daripada pemerhatian sendiri, kita dapat saksikan bahawa selain taman ini menjadi destinasi popular untuk dilawati, ia juga menjadi tempat pembiakan dalam menyelamatkan reptilia ini daripada pupus.

Taman ini juga dianggap santuari kerana segala kemudahan lengkap disediakan dan persekitarannya sesuai bagi buaya betina bertelur. Selepas telur menetas, anak buaya diasingkan bagi mengelakkan buaya dewasa mencederakannya.

Berikutan reptilia ini jenis ganas, jadi ia diasingkan mengikut spesies bagi mengelakkan sebarang kecederaan daripada buaya spesies lain. Bila sudah membesar, barulah buaya ini diletakkan dalam kolam besar bersama kumpulan buaya sama.

Pengunjung pasti tidak akan terlepas menyaksikan aksi buaya memamah makanan yang diberikan pekerja taman menerusi demonstrasi yang diadakan setiap Ahad dan cuti umum, jam 10.30 pagi, 11.30 pagi, 3.30 petang dan 4.30 petang. Orang ramai digalakkan mengambil gambar.

Taman dibuka setiap hari bermula jam 9 pagi hingga 6 petang. Bagi mereka yang ingin mendapatkan cenderahati sebagai kenangan, boleh membeli baju, pen, payung, poskad, kipas tangan dan replika haiwan di sini.



>Info

* Taman Buaya Miri

* Lokasi : Lot 164, 24 KM Miri-Jalan Kuala Baram, Miri

* Aktiviti : Menyaksikan gelagat pelbagai spesies buaya dari Sarawak, Kalimantan, Asia dan Australia, melihat demonstrasi buaya diberi makan, mengambil gambar spesies haiwan lain

* Operasi : Dibuka setiap hari jam 9 pagi hingga 6 petang.

* Cara ke sana : Memandu (perjalanan 20 hingga 25 minit dari bandar raya Miri). Menggunakan jalan Kuala Baram.

No comments: