Sunday, September 21, 2008

Kembali kepada alam
Oleh Sabaruddin Abd Ghani
am@hmetro.com.my



KEINDAHAN flora dan fauna yang menjalari hutan di negara ini pasti menggamit seribu kenangan bukan saja kepada pelancong tempatan malah pelancong luar negara.

Malah, paling seronok ketika ini ialah musim buah-buahan seperti durian, manggis dan rambutan yang boleh dinikmati di mana saja.


Bagi mereka yang sudah bosan dengan kesibukan kota, apa kata anda mengambil cuti sebenar dan melancong ke Sedim Eco Theme Park & Resort Kampung Sungai Buluh Sedim, Kulim, Kedah.

Resort itu dibangunkan dengan menggunakan sepenuhnya sumber alam sedia ada seperti sungai dan tumbuhan selain hidupan berhabitatkan belantara bagi tujuan pembangunan pelancongan berjaya menarik ramai pengunjung.

Keindahan Sungai Sedim yang jernih mengalir lesu menyusuri di pinggiran lokasi destinasi terbabit sudah tentu menarik pengunjung yang tidak ‘terdaya’ mengawal perasaan untuk berendam.

Apa yang menarik ialah pengunjung yang menginap di resort itu sepanjang Jun hingga Ogos, berpeluang menikmati buah durian, rambutan, manggis dan cempedak tanpa dikenakan bayaran.

Pemilik resort juga bermurah hati menyediakan masakan pulut durian bersantan antara menu istimewa dihidangkan untuk tetamu pada musim terbabit.

Malah, pengunjung yang pernah ke situ turut berkunjung semula lantaran timbul keseronokan setelah hati terpaut dengan sentuhan suasana rimba yang dihuni pelbagai habitat.

Sungai Sedim boleh dianggap sebagai aset penting dalam merancakkan pembangunan pusat percutian terbabit.

Realitinya, jika anda datang dalam keadaan keletihan setelah penat memandu, pasti segera ke gigi air setidak-tidaknya untuk menyejukkan kaki sebelum mandi bersama keluarga.

Beroperasi sejak dua tahun lalu, pusat percutian dibangunkan di kawasan dusun buah-buahan seluas kira-kira empat hektar itu menyediakan empat jenis penginapan iaitu Chalet Eksekutif, Junior Eksekutif, A Shape Kayu dan A Shape Stone selain tapak perkhemahan yang boleh menempatkan kira-kira 400 orang untuk satu-satu masa.

Meski pun setiap jenis penginapan disediakan kipas angin, kesegaran suasana dalam chalet yang diteduhi rimbunan pokok rambutan, cempedak, manggis dan durian selain pokok hutan sedia ada pasti membuatkan penghuni mudah terlena.

Pengarah Urusan resort itu, Md Noor Saad, 48, berkata konsep sebenar pusat percutian itu ialah ‘kembali ke alam’ dengan memperkenalkan konsep itu, orang ramai terutama warga kota yang menginap diharap dapat beristirahat dalam suasana lebih ‘privacy’.

“Melihatkan perubahan gaya hidup di era globalisasi yang semakin ramai mahu ‘mendekati’ alam, saya sanggup mengambil risiko membangunkan resort ini yang jauh dari pekan dan bandar.

“Bagi menyerlahkan imej bermotifkan konsep itu, pembangunan kemudahan prasarana banyak menggunakan sumber alam seperti buluh, kayu, batu sungai, tunggul kayu dan pasir yang dieksploitasi sebagai penceria landskap,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Tidak keterlaluan dikatakan, pengurusan resort cuba mengembalikan pemikiran dan sikap orang ramai supaya menghargai alam semula jadi.

Untuk penginapan, pengunjung mempunyai pilihan sama ada menempah bilik atau berkhemah. Jika bilik menjadi pilihan, Eksekutif Chalet cuma RM500 sehari semalam untuk 15 orang.

Junior Eksekutif RM150 sehari semalam untuk lima orang dan A Shape Kayu RM70 sehari semalam untuk lima orang manakala A Shape Stone RM50 sehari semalam untuk lima orang serta berkhemah RM10 seorang untuk sehari semalam.

Bagi pengunjung yang datang untuk berkursus atau berseminar, aktiviti luar seperti berkenu, rempuh halangan, memanjat dinding tiruan (abselling), flying fox, unggun api dan merentas hutan turut disediakan.

Beberapa jurulatih berpengalaman dan mahir dalam mengendalikan aktiviti lasak dan mencabar itu disediakan sepanjang program berkenaan.

Selain itu, pusat percutian berkenaan kini dalam peringkat pelaksanaan untuk membina taman mini burung, kolam ikan air tawar, taman mini orkid dan pusat maklumat berunsur sejarah dan Legenda Sedim serta kampung berdekatan.



>Cara ke sana

Dari Kulim kira-kira 16 kilometer perlu menggunakan laluan Kulim High Tech Park ke Mahang.

Dari situ menghala ke Kampung Selarung dan terus ke resort.

Dari Baling kira-kira 60 kilometer teruskan perjalanan ke simpang empat Air Terjun Bukit Hijau. Dari situ, ambil laluan ke Kampung Badung dan terus ke Sedim dan Kampung Sungai Buluh dan teruskan perjalanan ke resort.



Maklumat lanjut hubungi Md Noor di talian 016-4175737 atau 04-5755737 atau faksimile 04-5756737. Laman web ialah www.Sedimeco.Com

No comments: