Sunday, September 21, 2008

Percutian Muslim

Oleh Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my


PELANCONGAN Muslim kini menjadi sebahagian daripada perkara yang dititikberatkan kebanyakan masyarakat tempatan apabila mengambil keputusan untuk pergi bercuti panjang di luar negara.

PELANCONGAN Muslim kini menjadi sebahagian daripada perkara yang dititikberatkan kebanyakan masyarakat tempatan apabila mengambil keputusan untuk pergi bercuti panjang di luar negara.

Lazimnya, perkara yang diberi penekanan berkisar pada soal makanan dan minuman halal sehingga kepada kemudahan berhadas serta bersolat.


Atas alasan itu, ramai memilih untuk bercuti ke negara Timur Tengah atau yang mempunyai penduduk Islam yang ramai jumlahnya.

Begitupun, tempat percutian di negara terbabit mungkin hanya sesuai untuk sesetengah pihak dan aktiviti dilakukan tidak dapat memenuhi kehendak semua anggota keluarga terdiri daripada pelbagai peringkat umur.

Gold Coast terletak di daerah Queensland, Australia, antara lokasi percutian sesuai untuk seisi keluarga.

Selain panoramanya yang cantik, ia mempunyai pelbagai tempat tumpuan yang boleh disertai semua orang.

Tidak kira sama ada yang datang itu keluarga besar dan mempunyai pelbagai tujuan, pasangan baru berkahwin berbulan madu, mahupun yang datang bersendirian, Gold Coast pasti dapat memberikan apa yang dimahukan.

Bagaimanapun timbul persoalan, bagaimana hendak bercuti di negara yang rata-rata penduduknya beragama Kristian?

Adakah mudah untuk mencari makanan halal, terutama apabila percutian disertai anak-anak kecil dan remaja?

Bagaimana dengan waktu solat? Perkara wajib tidak ada kompromi dan ia harus dilaksanakan.

Mengikuti rombongan Majalah 3 yang diterbangkan syarikat penerbangan AirAsia X Sdn Bhd untuk membuat liputan di negara kanggaru itu, baru-baru ini, segala persoalan bermain di fikiran penulis terjawab.

Menarik apabila sebaik tiba, pihak Tourism Queensland membawa rombongan menikmati makan malam di Golden Legends Malaysian Restaurant di bawah hotel Mantra Legends, tempat rombongan menginap di Gold Coast Highway, Laycock Street.

Menurut pengurus restoran itu, Michael Chan, restoran itu dibuka Datuk Ismail Hassan dan ia sudah beroperasi hampir enam tahun.

Bukan itu saja, malah 200 meter dari restoran itu ada satu lagi tempat makan halal iaitu Restoran Maharani Malaysia dibuka Muhamed Nordin Khalidin dan isterinya, Nora Khaizuran Ismail yang berasal dari Singapura.

Kedua-dua restoran ini terletak berhampiran Surfers Paradise, kawasan tumpuan yang menjadi lokasi utama untuk penduduk tempatan mahupun pelancong beriadah dengan melakukan pelbagai aktiviti sukan air.

Sewaktu berbual sambil menikmati hidangan makanan Melayu disediakan, Muhamed Nordin menjelaskan, jumlah penduduk Islam di Gold Coast mencecah 15,000 orang dan atas alasan itu permintaan terhadap makanan halal cukup tinggi.

Biasanya bekalan daging dibawa dari Brisbane kerana di daerah itu mempunyai 1,000 orang tukang sembelih terdiri daripada penganut Islam yang sudah dikenal pasti dan diiktiraf oleh Majlis Ulama Australia (Queensland).

"Kami sebagai peniaga tidak menghadapi masalah untuk mendapatkan bekalan makanan halal kerana sudah mempunyai pemborong tetap. Perniagaan restoran halal ini juga mendapat sambutan bukan saja daripada masyarakat Islam di Gold Coast, tetapi juga pelancong luar," katanya.

Memandangkan mudah untuk memperoleh bekalan mentah halal, ia membolehkan beberapa pusat percutian tumpuan di Gold Coast seperti Dream World, Sea World dan Warner Bros Movie World turut menyediakan restoran khas untuk penganut Islam.

Sewaktu rombongan Majalah 3 dan AirAsia X mengadakan lawatan di sana, Pengurus Pegawai Perhubungan Awam dan Komunikasi Dream World, Shelley Winkle menjelaskan restoran yang menyediakan juadah halal ini turut menjadi pilihan pengunjung dalam mahupun luar negara.

Setiap hari kira-kira 4,000 hingga 10,000 pelancong mengunjungi pusat percutian keluarga itu dan sebahagian besar daripadanya terdiri daripada mereka beragama Islam.

"Justeru, kami memikirkan penting untuk menyediakan restoran makanan halal. Selain pelancong dari Malaysia dan Indonesia, restoran terbabit menjadi pilihan rakyat Timur Tengah yang bercuti di Gold Coast.

"Namun apa yang membuatkan pihak pentadbiran berasa teruja apabila restoran makanan halal ini turut menjadi pilihan rakyat China, Hong Kong dan Taiwan.

"Mungkin kerana suasananya yang cukup nyaman dan selesa kerana ia tertutup serta dilengkapi dengan sistem penghawa dingin," katanya.

Bukan itu saja kemudahan disediakan ketiga-tiga taman tema ini. Menyedari kebanyakan pelancong Muslim menghadapi masalah untuk beribadat, ia turut membina surau khas untuk mereka.

Sepanjang seminggu berada di sana, rombongan berkesempatan menunaikan sembahyang Jumaat di sebuah masjid di Pusat Islam Gold Coast di daerah Arundal, kira-kira 20 minit perjalanan dari Surfers Paradise.

Rombongan sempat menemubual imam masjid, Imraan Husian berasal dari Afrika Selatan. Dia menyambut kedatangan kami dengan perasaan cukup gembira kerana katanya, setiap kali tiba Ramadan, dia sering dijemput untuk menjadi imam di Masjid Putrajaya.

Cerita Imraan lagi, masjid itu menjadi pusat komuniti utama masyarakat Islam di Gold Coast dan mempunyai hampir 4,000 orang ahli yang aktif menyertai pelbagai aktiviti diadakan setiap minggu.

"Masjid ini dibina hampir 15 tahun lalu dengan sumbangan daripada seorang pembesar di Malaysia. Selain di Arundal, ada dua lagi masjid di Gold Coast yang terletak di bandar Habour dan Universiti Griffit," katanya.

Kebimbangan awal yang timbul di hati penulis akhirnya bertukar menjadi bangga dengan melihat perkembangan agama Islam begitu pesat di daerah Gold Coast.

Selain itu, sifat menghormati penganut lain yang diamalkan masyarakat di Australia seharusnya dijadikan contoh negara lain yang mahu menjadikan pelancongan sebagai antara sumber utama pendapatan negara mereka.

No comments: