Sunday, September 21, 2008

Bersantai hilangkan lelah di rimba Sungai Kedondong

SAMBIL menghirup udara sejuk dan menyegarkan di kaki gunung, pengunjung pasti tidak melepaskan peluang mandi-manda penuh keseronokan di sungai jernih airnya.

Inilah pengalaman istimewa pengunjung ke kawasan perkelahan Sungai Kedondong di Batang Kali, Selangor.


Tidak sukar untuk ke sini. Terletak di laluan utama Jalan Genting Highlands ke Batang Kali menyebabkan destinasi ini mudah dikunjungi sepanjang masa.

Aliran anak sungai yang jernih mendamaikan. Destinasi ini dipenuhi ramai pengunjung pada musim cuti perayaan, cuti umum dan cuti kelepasan am.

Selain sesuai untuk riadah seperti mandi-manda, pengunjung juga boleh mendaki bukit sambil mengenali ratusan spesies flora dan fauna yang asli.

Mula dimajukan kira-kira 10 tahun lalu, pembangunannya mengambil kira konsep percutian keluarga. Kemudahan prasarana disediakan seperti gerai makan, surau, pondok rehat, tempat letak kereta dan taman permainan kanak-kanak menjadikannya sesuai sebagai destinasi percutian.

Kini, kawasan ini dikawal selia sepenuhnya Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) bagi menjamin sentiasa bersih dan bebas daripada kekotoran yang tidak diingini.

Pengunjung terpesona mendengar kicauan unggas rimba bersama hilai tawa anak kecil bersorak riang mandi di anak sungai yang belum tercemar ini.

Jika mahu membeli cenderamata buatan masyarakat Orang Asli, sebuah gerai kraftangan dibina di sini yang menjual rantai kunci, baju, kipas, kraftangan buluh dan kayu serta terendak.

Ketika mahu menjamu selera dan berkelah, kita tidak perlu risau akan makanan yang mahu dijamah kerana ada tiga gerai makan yang menyajikan juadah istimewa ala masakan kampung.

Aktiviti lain yang boleh dijalankan di sini adalah memancing sebarau, tengas dan baung. Jika tidak pun, mengadakan perkhemahan bersama rakan dan riadah hutan berkumpulan.

INFO
Pusat Perkelahan Sungai Kedondong terletak kira-kira 60 kilometer (km) dari Kuala Lumpur. Destinasi popular ini sudah lama menjadi tumpuan penduduk tempatan dan kawasan sekitar termasuk Pahang untuk bersantai bersama keluarga pada hujung minggu.

CARA KE SANA
Dari Batang Kali: Perjalanan sejauh 7km menuju terus ke Pusat Perkelahan Sungai Kedondong. Perjalanan hanya mengambil masa 20 minit saja.

Dari Genting Highlands: Perjalanan sejauh 5km menuju ke Pusat Perkelahan Sungai Kedondong mengambil masa hanya 10 minit.

Source: hmetro.com.my

No comments: